Tekanan hari isnin, ceria hari jumaat

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Stres ataupun tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan sebagai manusia dan ia wujud setiap hari dalam pelbagai bentuk dan kadang-kala tanpa kita sedari. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan stres, bagaimana ia boleh terjadi, adakah diri anda sedang di dalam belenggu stres dan cara betul mengetahui sama ada benar-benar stres, apakah terdapat kesan sampingan ke atas kita?
Stres ataupun tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan sebagai manusia dan ia wujud setiap hari dalam pelbagai bentuk dan kadang-kala tanpa kita sedari. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan stres, bagaimana ia boleh terjadi, adakah diri anda sedang di dalam belenggu stres dan cara betul mengetahui sama ada benar-benar stres, apakah terdapat kesan sampingan ke atas tubuh badan, pemikiran serta mood kita dan cara yang tepat menguruskan stres di dalam kehidupan seseorang.
Lebih-lebih lagi jika anda seorang pekerja. Tidak kiralah sama ada anda bertugas di organisasi gergasi mahupun kecil, sudah pasti anda tidak terlepas daripada terkena stres. Meskipun stres bukanlah sejenis penyakit namun begitu sekiranya anda terlalu terbeban dengan tekanan yang tinggi dan berpanjangan, kesihatan juga turut sama akan terjejas.
Menurut Penasihat Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor, Dr. Azrul Rozaiman Datuk Haji Abdullah, antara punca stres di tempat kerja tercetus berdasarkan kepada lapan sebab iaitu:

STRESSOR
S – Support (Sokongan)
Tiada sokongan daripada majikan kerana tidak menyediakan kemudahan lengkap seperti komputer serta peralatan moden yang lain sehingga menjejaskan kelancaran kerja serta produktiviti sesebuah organisasi.

T – Task (Tugas)
Diberikan tugasan yang terlalu banyak dan perlu disiapkan dalam masa yang singkat dengan tidak mengambil kira keupayaan serta kemahiran yang dimiliki oleh para pekerja.

R – Role & Responsibility (Peranan dan Tanggungjawab)
Berlaku percanggahan bidang tugas serta peranan ataupun tanggungjawab yang jelas. Diberi tugasan yang sepatutnya diselesaikan oleh pekerja lain sehingga membebankan diri kerana perlu menyiapkan kerja yang sedia ada.

E – Environment (Persekitaran)
Ruang kerja yang terlalu sejuk, panas, sempit dan bising juga mempengaruhi mood kerja kerana menjadikan anda tidak selesa untuk menjalankan tugas.

S – Shift work (Kerja Shif)
Tubuh badan secara normalnya perlu mengikut peredaran dan oleh sebab anda terpaksa mematuhi shif kerja mahupun bekerja sehingga larut malam seperti yang telah ditetapkan oleh majikan, maka biological clock tubuh anda akan terganggu. Oleh itu stress mudah melanda kerana diri berasa tertekan secara mental dan fizikal.

S – Social (Sosial)
Teman sejawat tidak memberikan kerjasama dalam melakukan kerja berkumpulan. Komunikasi yang tidak lancar bukan sahaja menjejaskan mutu pekerjaan bahkan juga menjadikan persekitaran tegang kerana tidak sependapat dalam banyak perkara. Selain itu, gangguan seksual serta budaya buli yang diamalkan juga mempengaruhi mood pekerja di tempat pejabat.

O – Organization (Organisasi)
Organisasi anda bekerja tidak menjaga kebajikan para pekerjanya. Misalnya tidak memberikan penghargaan ataupun insentif yang boleh meningkatkan tahap motivasi pekerja untuk bekerja keras. Pihak majikan tiada inisiatif untuk mempertingkatkan mutu kerja seperti mengadakan kursus tertentu serta menyalahkan pekerja dengan alasan malas, suka membuang masa dan sebagainya.

R – Restriction (Sekatan)
Masa bekerja yang tidak fleksibel membuatkan pekerja rasa tegang dan terbeban. Kesukaran untuk menyeimbangkan masa antara kerja dan kehidupan luar menjadikan anda stress dan seterusnya mempengaruhi produktiviti anda di tempat kerja.

STRES BILA TIBA HARI ISNIN
Ujar beliau lagi, stres sesuatu yang agak subjektif dan ia bergantung kepada stress yang dialami secara fizikal ataupun mental dan meliputi kemampuan seseorang individu itu untuk menanganinya secara bijak kerana jika tidak boleh membawa kepada akibat lain seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, ketidakseimbangan hormon badan, sistem reproduktif terganggu, kencing manis, dan paras kolesterol yang tidak seimbang dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh ramai di antara kita yang berasa tertekan terutama sekali apabila tiba hari Isnin. Mulalah kedengaran keluh-kesah setiap kali memulakan kerja pada hari tersebut.
Masakan tidak, terbayang beban tugasan yang banyak untuk disiapkan pada minggu itu membuatkan kita stress dan malas melakukannya. Lain pula halnya dengan hari Jumaat. Penghulu segala hari ini begitu dinanti-nantikan semua pekerja kerana bakal bebas daripada memikirkan soal kerja lagi.
Itulah antara senario ringkas yang kerap kali berlaku di kalangan pekerja. Sungguhpun demikian, masih ada yang tidak memliki pemikiran sebegitu. Sekiranya seseorang itu menyukai pekerjaan yang dijawatnya, sudah tentu mereka akan melakukannya dengan sepenuh hati.
Bangun keesokan pagi dengan penuh bersemangat ingin memulakan tugasan yang diamanahkan oleh majikan. Malah ada juga individu yang dengan senang hati bekerja lebih masa sehingga melepasi waktu yang sepatutnya dengan penuh kerajinan dan berkobar-kobar.
Bagi individu jenis ini, mereka tergolong dalam pekerja yang mahu memastikan setiap tugas yang diamanahkan ke atas mereka dilaksanakan dengan sempurna dan terurus.
Bagaimanapun, ada juga dikalangan pekerja yang tidak mampu menjadi seperti individu di atas. Kebanyakan daripada kita tidak menyedari bahawa terdapat elemen secara fizikal yang telah mempengaruhi tubuh badan supaya berasa rajin, malas, bersemangat ataupun sikap lainnya. Stres adalah satu kelemahan yang harus ditangani.
“Terdapat banyak penyebab yang membawa kepada stres dalam pekerjaan. Mungkin juga jenis pekerjaan yang anda lakukan kini tidak bersesuaian dengan kemahuan mahupun kehendak hati anda.
“Boleh jadi juga hubungan sesama rakan sepejabat, majikan mahupun orang atasan yang tidak peka dengan keperluan para pekerjanya terutama sekali dalam soal gaji serta kemudahan-kemudahan lain seperti perubatan, kebajikan dan sebagainya sehingga menjadikan anda tidak selesa untuk berkhidmat dengan sepenuh hati serta bersungguh-sungguh,” kata Dr. Azrul.
Kemampuan serta keupayaan seseorang pekerja juga mempengaruhi tahap stres di mana majikan harus sentiasa memberikan tunjuk ajar ataupun bimbingan sekiranya perlu. Sesetengah pekerja agak lambat terutama sekali ketika mempelajari tugasan yang diberikan.
Jadi, pihak majikan perlu memahami tahap pembelajaran antara setiap seorang pekerja mereka itu berbeza antara satu dengan yang lain. Majikan yang bijak akan menjadikan kelebihan pekerja mereka dengan cara meletakkan beban tugas yang menjadi kepakaran serta minat dan bukannya mengharapkan mereka melakukan pekerjaan yang tidak digemari.
Oleh itu, perkara yang menjadikan anda sentiasa stress tidak semestinya menjadikan diri orang lain juga stres. Sebenarnya, faktor genetik, pengalaman kerja terdahulu, tahap pemikiran dalam menguruskan stres sama ada mengambil sesuatu masalah mahupun halangan sebagai sesuatu yang positif ataupun negatif menjadikan diri anda memberikan reaksi dan juga bertindak balas dengan cara yang tersendiri.
Jelas beliau, jika anda jenis berfikiran positif, besar kemungkinan prestasi anda akan semakin meningkat kerana anda menjadikan sesuatu beban tugas yang diberikan ke atas diri anda sebagai cabaran untuk naik pangkat dan sebagainya. Namun lain ceritanya sekiranya anda merasakan stress sebagai sesuatu yang negatif. Anda akan menjadi sensitif kerana tidak mampu menangani stres secara optimum.

TANDA-TANDA STRES
Justeru, tubuh badan anda secara fizikalnya akan menunjukkan tanda-tanda awal yang menandakan anda berada dalam keadaan stres. Ini termasuklah mengalami gastrik, migrain, sakit kepala, pening, kurang tidur, keletihan, sakit perut, sakit belakang badan, otot terasa tegang, perubahan pada tabiat makan sama ada hilang selera makan ataupun makan berlebihan, pedih pada ulu hati dan lain-lain lagi.
Manakala reaksi yang akan berlaku pada tingkah laku adalah seperti kurang penumpuan terhadap tugasan, tidak hadir kerja, masalah untuk mengingati dan menjadi pelupa, gangguan tidur, melakukan lebih banyak kesilapan, kekok dan mudah tercedera, kerap menghisap rokok, mengambil minuman beralkohol dan juga terlibat dengan najis dadah.
Sementara itu, seseorang pekerja yang stress juga akan mengalami perubahan pada reaksi psikologis termasuklah kerap marah, menangis, ketakutan, kerisauan melampau, keliru, gemuruh, keyakinan diri berkurangan dan kemurungan.
Sekiranya stres yang dialami agak keterlaluan dan diburukkan lagi dengan sejarah keluarga yang mengalami penyakit mental, individu terbabit mungkin tidak mampu menangani masalah dan rintangan yang dihadapi secara rasional, jadi mereka perlulah merujuk pula kepada pakar psikiatri.

2 thoughts on “Tekanan hari isnin, ceria hari jumaat

  1. kesan kebaikkan dan keburukkan seseorang pekerja di berikan tugas tidak mengikut bidang keupayaannya dan cara mengatasinya.

    1. Bila tugas org lain dibuat..juga boleh tingkatkan tekanan..sbb kadang2 tu kerja org yg malas..terpaksa ditanggung oleh org rajin…Tapi xpe..yg rajin sebenarnya akan dapat lebih ilmu dan pengalaman yg akan memajukan dirinya suatu hari nanti..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *