

Sebagai Kakitangan Awam, juga boleh menyambung pengajian. Terdapat kemudahan cuti belajar kakitangan awam diperuntukkan kepada penjawat awam mengikut syarat dan jenis permohonan cuti belajar. Sekiranya kakitangan awam ingin menyambung pengajian dari kelulusan semasa juga digalakkan tetapi perlu melalui proses permohonan dan tapisan tertentu yang melayakkan kemudahan cuti belajar yang diluluskan.
Cuti belajar kakitangan awam
Terdapat 3 cuti belajar kakitangan awam yang perlu kita ketahui iaitu :
Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP)
Cuti yang diluluskan oleh pihak berkuasa melulus kepada seseorang pegawai untuk mengikuti kursus atau pengajian di mana dalam tempoh tersebut pegawai dibayar gaji, imbuhan tetap dan lain-lain elaun yang berkelayakan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan sama ada dengan atau tanpa biasiswa.
Cuti ini diberikan kepada pegawai untuk mengikuti kursus bagi pembangunan kompetensi dan bukan untuk kemajuan kerjaya di mana kelayakan yang diperolehi tidak melayakkan pegawai dilantik ke kumpulan perkhidmatan yang lebih tinggi. Pegawai layak mendapat kemudahan CBBP maksimum dua kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan bagi mengikuti kursus Jangka Panjang.
Terdapat 3 Kategori CBBP
- Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBPDB);
- Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Separa Biasiswa (CBBPSB);
- Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBPTB)
Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG)
Cuti yang diluluskan oleh pihak berkuasa melulus kepada seseorang pegawai untuk mengikuti kursus atau pengajian di mana dalam tempoh tersebut, pegawai dibayar gaji, imbuhan tetap dan lain-lain elaun yang berkelayakan atas kadar separuh mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan sama ada dengan atau tanpa biasiswa.
Cuti ini diberi kepada pegawai dalam perkhidmatan Kumpulan Sokongan bagi mengikuti kursus di peringkat Sijil / Diploma / Ijazah Pertama di mana kelayakan yang diperolehi akan melayakkan pegawai dilantik ke kumpulan perkhidmatan yang lebih tinggi. Pegawai layak mendapat kemudahan CBSG maksimum dua kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan bagi mengikuti kursus Jangka Panjang.
Cuti Belajar Tanpa Gaji (CBTG)
Cuti yang diluluskan oleh pihak berkuasa melulus kepada seseorang pegawai untuk mengikuti kursus atau pengajian di mana dalam tempoh tersebut, pegawai tidak dibayar gaji, imbuhan tetap dan lain-lain elaun yang berkelayakan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan sama ada dengan atau tanpa biasiswa.
Cuti ini diberikan kepada pegawai bagi mengikuti kursus di peringkat Pra-Ijazah (Sijil atau Diploma), Ijazah Pertama atau Ijazah Lanjutan yang tidak layak dipertimbangkan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh atau Cuti Belajar Separuh Gaji. Pegawai layak mendapat kemudahan CBTG maksimum dua (2) kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan, sama ada kursus di peringkat Sijil / Diploma / Ijazah Pertama atau Ijazah Lanjutan. Kelulusan kali kedua boleh dipertimbangkan di peringkat pengajian yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya. – Sumber
Kemudahan Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa yang sebelum ini hanya kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, kini akan diberikan juga kepada Kumpulan Pelaksana. pertanyaan saya… bilakah pekeliling ini berkuat kuasa di universiti awam? dan bagaimana untuk memohon?