5 Cadangan Aktiviti Kelas Relief

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Kelas relief membawa maksud kelas yang mana perlu digantikan oleh guru lain kerana guru asal tidak dapat hadir kerana MC atau sebagainya. Penulis yang pernah membuat latihan industri di sekolah pernah beberapa kali ditugaskan untuk menjaga kelas relief. Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan semasa kelas tersebut. Antaranya  5 cadangan yang bakal disebutkan di bawah:

Aktiviti Releif
Aktiviti Releif

Cadangan Aktiviti Kelas Relief

  1. Klinik al-Fatihah dan Jawi

Aktiviti ini sesuai dilaksanakan lebih-lebih lagi untuk subjek Pendidikan Islam. Jadi, ustaz dan ustazah sekalian bolehlah cuba. Sengaja penulis letakkan cadangan ini pada nombor yang pertama memandangkan peri pentingnya kita menjaga bacaan wajib, al-Fatihah dalam solat lima waktu. Berapa ramai orang yang belum lagi lancar bacaan al-Fatihahnya, tanggungjawab ustaz dan ustazahlah yang membetulkan bacaan anak-anak bangsa kita sedari awal. Mungkin boleh ambil masa 30 minit untuk slot bacaan al-Fatihah ini. Mula-mula ustaz ustazah bolehlah perdengarkan bacaan yang betul terlebih dahulu, diikuti dengan bacaan anak murid. Jika ada yang perlu diperbetulkan, maka perlu perbetulkan secara langsung dari sudut makhraj huruf dan sifat-sifatnya.

Begitu juga dengan jawi, suatu warisan yang makin dilupakan generasi kini. Tugas ustaz ustazah adalah untuk memupuk semangat cintakan jawi dalam jiwa anak-anak murid. Jawi merupakan tulisan orang Melayu pada zaman dahulu sebelum masyarakat kita menggunakan rumi sebagai tulisan rasmi. Sebagaimana bahasa Mandarin ada hanyu pinyinnya begitu jugalah bahasa Melayu ada jawi dan rumi, bagaikan kembar yang tidak dapat dipisahkan. Contoh aktiviti klinik jawi adalah ustaz dan ustazah boleh edarkan kertas yang mengandungi teks bertulisan rumi, kemudian murid-murid diberi arahan untuk menukarkan tulisan jawi tersebut kepada tulisan rumi. Markah diberi kepada setiap soalan yang betul dan murid yang paling kurang kesalahannya akan dikira sebagai pemenang.

Info Tambahan :  3 Bidang Industri Kreatif: Seni, Rekaan, dan Hiburan

2. Permainan 

Seterusnya, guru juga boleh memvariasikan aktiviti semasa kelas relief dengan mengadakan slot bermain yang menguji minda murid-murid. Sekali-sekala murid-murid juga perlu didedahkan kepada permainan yang santai tetapi tetap menguji kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Sebagai contoh, bawalah beberapa set permainan Sahibba atau Scrabble dan sebagainya. Secara khususnya permainan ini menguji kemahiran bahasa murid-murid tersebut. 

3. Game ‘Kahoot’

Kahoot merupakan suatu permainan online atau lebih tepat lagi disebut sebagai kuiz online yang sangat menyeronokkan abad ini. Untuk bermain permanan ini, guru terlebih dahulu perlu menyediakan set soalan menggunakan aplikasi kahoot. Kemudian murid-murid perlu memasukkan kata laluan game kahoot menggunakan tablet atau gajet masing-masing, kemudian boleh cuba menjawab! Selain individu, game ini juga boleh dimainkan secara berkumpulan. Memang menarik! Game ini sesuai untuk semua subjek sama ada subjek Bahasa Inggeris, Matematik bahkan subjek Sejarah. Di akhir game ini, Kahoot akan memaparkan johan, naib johan dan tempat ketiga bagi kuiz tersebut.

4. Kad Pop-up

Anda pernah dengar kad pop-up? Cuba google, pasti anda teruja apabila melihat kad pop-up yang telah dihasilkan oleh pop-up artist seperti Matthew Reinhart dan Robert Sabuda. Kad pop-up telah wujud lama dahulu tetapi susah untuk didapati. Di Malaysia, kita ada Abu Bakar Allonzo, yang aktif membuat  kad pop-up malah menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan. Anda boleh perkenalkan cara-cara membuat kad pop-up di dalam kelas relief. Pastinya murid-murid akan teruja melihat hasil karya mereka sendiri sekali gus mencungkil bakat seni yang terpendam dalam diri masing-masing. Ada juga seni kertas yang hampir sama dengan pop-up iaitu kirigami. Biasa kita dengar pasal origami sahaja bukan? Sebenarnya kedua-dua seni ini, origami dan kirigami ini berasal dari Jepun. Bezanya kirigami menggunakan alatan tajam seperti pisau manakala origami lebih selamat kerana menggunakan teknik lipatan sahaja. Oleh itu, kalau guru-guru mahu mencuba teknik kirigami ini,pastikan pelajar-pelajar yang sudah pandai menggunakan pisau atau gunting sahaja ya, jangan suruh pelajar yang masih tidak tahu menggunakan pisau, bahaya!

Info Tambahan :  Applicant Tracking System: Pengalaman dengan ATS Tahun 2023

5. Congak-congak Matematik

Zaman sekarang, kita bertuah kerana dilengkapi dengan alat mesin kira atau kalkulator. Sehinggakan, penggunaan kalkulator ini membuatkan kita semakin hilang keupayaan mencongak dalam minda lantaran terlalu bergantung kepada alat tersebut. Jikalau ditanya kepada nenek-nenek atau atuk-atuk pada zaman dahulu, mereka dilatih untuk mencongak setiap kali mata pelajaran hisab, nama lain bagi matematik pada ketika itu. Nah…inilah masanya guru matematik khasnya, perlu mengadakan slot mencongak dalam kelas. Aktiviti ini dapat mengasah kemahiran mengira murid-murid dan amat berguna kepada mereka terutamanya ketika berjual- beli. Kalau guru mahu lebih kreatif, boleh juga perkenalkan kaedah Mokhdar, kaedah matematik suatu ketika dahulu, dalam  kelas relief.

Sebenarnya, ada pelbagai lagi aktiviti kelas relief yang sesuai dilaksanakan oleh guru-guru. Namun, faktor masa dan kebolehan guru untuk mengendalikan kelas ketika aktiviti perlu diambil kira. Selamat mencuba!

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top