Anda pasti tahu bahawasanya Bahasa Mandarin merupakan antara bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia. Penutur bahasa Mandarin terdiri daripada penduduk di Malaysia, Singapura, Taiwan, Beijing dan sebagainya. Di Malaysia, bahasa Mandarin menjadi sangat popular dan mendapat permintaan terutamanya oleh pencari pekerjaan seperti graduan yang baru sahaja grad dari universiti.
Hal ini demikian kerana bos-bos di Malaysia terutamanya syarikat swasta meletakkan kriteria boleh bercakap bahasa Mandarin sebagai syarat untuk diterima bekerja dengan mereka. Dalam artikel kali ini, penulis berasa teruja untuk berkongsi cara-cara untuk belajar bahasa Mandarin. Check it out!
Daftar Kelas Mandarin
Paling penting, kalau betul-betul mahu mahir sesuatu bahasa, kita perlu berguru. Sekiranya ada duit lebih atau kemampuan, bolehlah daftar kelas bahasa Mandarin. Penulis secara peribadi, berpendapat cara berguru ini paling berkesan kerana guru boleh membetulkan kesalahan apabila kita bertutur dalam bahasa tersebut. Lebih-lebih lagi bahasa Mandarin sememangnya mempunyai makna berbeza-beza bergantung kepada sebutan perkataan tersebut.
Cubalah cari kelas-kelas yang menawarkan harga berpatutan di kawasan anda. Sebagai contoh, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ada menawarkan mata pelajaran Bahasa Mandarin sebagai elektif untuk pelajar-pelajarnya dan juga kelas tuisyen bahasa di SMART, sebuah pusat tuisyen dalam UIA yang menawarkan pelbagai pilihan bahasa asing untuk dipelajari.
Sekiranya, susah untuk dapatkan kelas mandarin yang berdekatan, usah risau kerana bahasa Mandarin juga turut diajar secara atas talian ( online). Google sahaja ‘ learn mandarin online’, anda pasti teruja untuk membuat pilihan lantaran banyaknya pilihan untuk belajar bahasa Mandarin yang ada.
Aplikasi belajar bahasa Mandarin
Selain belajar bahasa Mandarin dengan menghadiri tuisyen, anda juga boleh belajar secara percuma! Bagaimana? Caranya mudah sahaja, hanya perlu install aplikasi belajar bahasa Man darin seperti AI Super Chinese dan 50 Language. AI Super Chinese merupakan salah satu aplikasi belajar bahasa Mandarin yang terbaik yang pernah penulis gunakan dalam usaha untuk mempelajari bahasa bisnes ini.
Hal ini demikian kerana aplikasi tersebut dilengkapi dengan artificial intelligence yang boleh merekod suara kita dan seterusnya mengesakan sama ada sebutan bahasa Mandarin yang dituturkan itu betul atau salah. Selain itu, aplikasi ini turut dilengkapi dengan kuiz atau soalan latihan yang mana menekankan repitition dalam soalannya supaya kita mudah mengingat kosa kata yang digunakan tanpa perlu menghafal! 50 Language pula merupakan aplikasi yang mana kita boleh pilih bahasa yang ingin dipelajari daripada 50 pilihan bahasa.
Cakap sahaja mahu belajar bahasa apa, bahasa Arab? Inggeris? atau Sepanyol? Semuanya ada tersedia dalam aplikasi tersebut. Cuma anda perlu pilih sahaja. Inilah peluang yang tidak wajar anda lepaskan untuk menjadi seorang polyglot!
Cari kawan berbangsa Cina
Kalau anda boleh buat cara ini, memang anda seorang penuntut ilmu sejati. Apa kelebihan berkawan dengan bangsa Cina? Dia boleh mengajar anda cara menyebut dengan betul dan budaya-budaya Cina yang mungkin banyak lagi kita tidak tahu. Sebagai contoh, cara makan makanan menggunakan ‘ chopstick’, menarik bukan? Dia juga boleh menjadi partner untuk kita berbahasa Mandarin dengan lebih efektif.
Hal ini demikian kerana dia lebih tahu penggunaan kosa kata mengikut konteks dan membetulkan kita sekiranya kita salah. Kawan melalui Skype juga tidak mengapa dan digalakkan. Bukan sahaja Skype, anda boleh manfaatkan banyak lagi medium sosial untuk anda berinteraksi dengan kawan anda seperti Wechat, Whatsapp dan Facebook.
Terlibat aktif dengan bahasa tersebut
Apakah yang dimaksudkan dengan terlibat secara aktif dalam bahasa Mandarin? Anda boleh menonton filem dan kartun bahasa Mandarin. Daripada situ, anda boleh belajar ungkapan – ungkapan yang digunakan mengikut situasi. Sekiranya tidak sempat, boleh juga menonton video di YouTube, yang menawarkan pembelajaran bahasa secara percuma. Di samping itu, boleh juga mendengar lagu-lagu Mandarin untuk membiasakan telinga dengan perkataan dan sebutan. Cara yang santai ini biasanya lebih mudah melekat di ingatan dan lebih seronok!
Simpan kamus peribadi
Cara yang terakhir ini merupakan cara yang tradisional tetapi masih relevan hingga kini. Setiap hari, catat 10 perkataan baru beserta maksud dan hafal. Seboleh-bolehnya anda perlu nyatakan sama ada perkataan itu kata nama atau adjektif atau kata kerja. Hal ini untuk memudahkan anda membuat ayat ringkas mengikut asas tatabahasa dalam bahasa Mandarin. Namun, tidak cukup dengan catat sahaja, anda juga perlu tahu cara sebutan yang betul. Dalam situasi ini, anda boleh rujuk pada guru atau rakan Cina anda tadi.
Kesimpulan
Jadi, macam mana? Sudah dapat idea bagaimana mahu belajar bahasa Mandarin? Ketahuilah bahawasanya banyak kelebihan belajar bahasa ini, antaranya boleh tawar menawar ketika membeli dengan orang Cina, boleh membaca surat khabar yang dalam bahasa Mandarin, dan yang paling menarik, anda juga tidak perlu teragak-agak untuk travel ke China kerana anda sudah pun menguasai bahasa tersebut!