Anda sudah buat keputusan? Sama ada mahu ambil tingkatan 6 atau tidak? Jika ya jawapannya, saya ucapkan syabas kerana telah memilih salah satu daripada laluan selepas SPM yang jimat dan mencabar. Jangan takut dengan cabaran dan jangan mengalah sebelum berusaha ya!
Saya kongsikan resepi pelajar cemerlang STPM khususnya aliran sastera. Pernah dengar tak pendapat mengatakan belajar di form 6 ni amat susah? Sebenarnya tidaklah susah mana jika kita tahu strategi yang patut diambil ketika belajar. Belajar juga ada strategi dan langkah-langkah yang tersusun sekiranya kita mahu berjaya dengan cemerlang.


- Resepi Cemerlang Pertama: Tetapkan matlamat
Sebenarnya tetapkan matlamat ialah langkah pertama yang kita kena buat dalam apa-apa jua perkara yang kita ingin capai. Maknanya, kita spesifikkan target. Ada satu formula atau akronim yang ingin dikongsikan; SMART
S- Specific – contohnya anda boleh tetapkan mahu capai 3.5 . Kalau di universiti, pointer sebegini sudah dikira sebagai dean’s list.
M- Measurable – pastikan ‘ measurable’ iaitu boleh diukur, contohnya melalui markah peperiksaan dan kiraan pointer
A- Achievable -target yang anda buat perlulah achievable iaitu boleh dicapai sesuai dengan usaha yang anda berikan.
R- Realistic– Apakah yang dimaksudkan dengan realistic di sini? Realistic dalam erti kata lain bermaksud target yang dibuat adalah relevan dan tidak terlalu tinggi. Ini bukan bermakna anda tidak boleh target 4 flat sebaliknya anda boleh target 4 flat sekiranya anda sanggup korbankan masa libur anda untuk anda penuhkan dengan aktiviti membaca dan ulangkaji yang berterusan. Ukur baju di badan sendiri. Analogi mudah, kalau anda hanya mampu mengulangkaji 30 minit setiap hari takkan nak target 4 flat ? Melainkan anda betul- betul pelajar genius!
T- Timely – Seterusnya, set masa yang diambil untuk anda capai cita-cita anda tadi. Contohnya dengan ulangkaji selama 4 bulan, aku mahu dapatkan 3.5 dalam STPM Penggal 1. Dalam sehari aku akan habiskan sebanyak 3 jam untuk membaca buku dan mengulang kaji.
2. Resepi Cemerlang Kedua: Lebihkan bahan bacaan, tidak bergantung kepada buku teks semata-mata
Anda perlu banyakkan membaca, ini serius! Tambahan pula anda mengambil aliran sastera. Subjek seperti Sejarah memerlukan anda membaca dengan intensif. Banyak fakta yang perlu diingat untuk anda aplikasikan dalam esei jawapan anda dalam peperiksaan nanti. Oh ya, sebelum tu saya ingin maklumkan kebanyakan kertas STPM memerlukan anda mengarang esei, tidak sama dengan SPM yang masih ada lagi soalan objektif.
Namun, anda janganlah takut, ini suatu kelebihan bagi anda kerana biasanya soalan objektif lebih susah kerana hanya mempunyai satu jawapan sahaja. Kalau salah jawab maka kosonglah markah anda untuk soalan tersebut. Manakala, bagi soalan subjektif jawapan yang berbeza masih boleh diterima dan dipertimbangkan asalkan menepati skema peperiksaan. Cuma nanti janganlah tarikh pun mahu direka,ya!
Apakah bahan bacaan tambahan yang ada selain daripada buku teks? Berkenaan perkara ini anda jangan gusar, anda boleh dapatkan bahan daripada majalah dan surat khabar. Contoh majalah ialah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera manakala contoh surat khabar pula ialah surat khabar Berita Harian. Apa? Anda tidak ada masa dan wang untuk dapatkan bahan bacaan tersebut?
Jangan panik, anda boleh saja melanggan majalah dan surat khabar itu secara atas talian (online). Harganya lebih murah daripada harga buku fizikal yang biasa kita baca. Malah, ada juga yang diedarkan di talian secara percuma sebagai contoh Dewan Sastera. Ini merupakan satu kelebihan buat anda generasi sekarang.
Untuk mengetahui contoh-contoh kerja kursus juga anda boleh cuba layari Internet sahaja. Sebagai contoh anda boleh buat akaun SCRIBD dan SLIDESHARE. Anda juga boleh download bahan yang terdapat di laman web SCRIBD secara percuma jika anda upload bahan anda ke laman web tersebut. Contoh, anda upload cerpen yang anda karang sendiri kemudian anda akan dapat download bahan yang anda mahu secara automatik dan free sahaja. Mudah, bukan?
3. Resepi Cemerlang Ketiga: Rancang jadual kerja kursus anda
Anda akan ditugaskan satu kerja kursus bagi setiap subjek yang anda ambil. Hal inilah yang menjadi kelebihan untuk pelajar STPM kerana kemahiran menulis kerja kursus inilah yang akan diuji apabila anda menjejakkan langkah ke universiti nanti. Assignment di universiti biasanya memerlukan anda mengaplikasikan teknik menulis yang betul. Istilah yang anda akan biasa dengar nanti ialah reference, nota kaki dan sebagainya lagi yang bersifat teknikal. Anda juga akan belajar cara ‘citing‘ yang betul. Semua ini akan dibimbing oleh guru mata pelajaran anda.
Untuk kerja kursus ini, sebaiknya anda tidak mengharap pada ‘timeline’ guru semata-mata. Penting juga untuk anda punyai jadual sendiri supaya tidaklah anda kalut dan tergopoh gapah di kemudian hari. Pastikan kerja kursus anda mempunyai rujukan yang mencukupi.
4. Resepi Cemerlang Keempat: Menguasai Strategi dan Teknik Peperiksaan
Sesiapa juga pasti pernah menghadapi peperiksaan dalam hidupnya. Biasanya, ramai yang takut untuk menghadapi peperiksaan dan menganggap peperiksaan sebagai suatu perkara yang boleh membuatkan ramai pelajar tertekan. Anda perlu ubah mindset, itulah kata kuncinya. Anda perlu katakan pada diri anda, peperiksaan pasti boleh diharungi jika teknik peperiksaan dikuasai sepenuhnya.
Nampak tak? Betapa persediaan sebelum peperiksaan itu tersangatlah penting. Bayangkan apa yang anda belajar dalam 1 tahun 1/2 akan diuji dalam masa 2 jam sahaja untuk setiap subjek. Adakah anda mahu sia-siakan dua jam yang ada tu? Sedangkan anda sudah berhempas pulas pergi ke sekolah hampir dua tahun lamanya. Fikir positif, manfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk lakukan persediaan yang perlu.
Persoalannya apakah persediaan yang perlu dibuat?
- Pastikan ada nota lengkap bagi setiap subjek tanpa sebarang pengecualian.
- Kuasai kesemua tajuk dan soalan ramalan bagi semua subjek.
- Mesti mahir dan arif bentuk serta format peperiksaan.
- Mesti selesai mengulangkaji sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh peperiksaan.
Macam mana? Rasa lebih terpandu? Dah tak sabar nak mulakan pengajian di tingkatan 6? Tunggu dulu, ada lagi sebenarnya…rujuk di bawah.
5.Resepi Cemerlang Kelima: Hubungan yang baik dengan Tuhan dan manusia
Jagalah hubungan dengan guru-guru anda serta kedua-dua ibu bapa anda. Berkat itu yang penting dalam kehidupan setiap manusia. Kalau dengan guru, pastikan tugasan disiapkan dengan sempurna. Sekiranya anda ada sesuatu yang tidak jelas, cepat-cepat dapatkan konsultansi daripada guru. Sebenarnya guru lebih suka dengan pelajar yang suka berusaha dan banyak bertanya.
Hal ini demikian menandakan pelajar serius dalam pelajaran. Ibu bapa pula sering mengharapkan yang terbaik daripada anak-anak tapi bukan bermakna mereka mahukan kesempurnaan. Mereka mahu anak mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Oleh itu, hormati ibu bapa dan dapatkan restu. Doa ibu bapa mudah termakbul.
Manakala, hubungan yang paling penting sekali ialah hubungan dengan Tuhan kita. Jaga solat, jaga pemakanan ( ambil yang halal lagi suci). Perbetulkan niat anda, belajar kerana menuntut ilmu bukan untuk bermegah-megah. Menuntut ilmu itu dituntut Islam ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan.
Dengan niat yang betul, anda tidak akan mudah tertekan dengan sistem peperiksaan ini. Hal ini kerana tujuan belajar anda adalah untuk mendapatkan keredaan-Nya.
Penutup
Bagaimana? Ada dapat sesuatu? Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Semoga bermanfaat dan terima kasih.