Baru-baru ini semasa saya berada di kampung untuk bercuti, saya dikejutkan dengan berita sedih. Dalam kehangatan para pelajar tingkatan 5 mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tiba-tiba di hening subuh selepas sahaja solat subuh, ada ppengumuman kematian di tempat saya. Dua orang terlibat dalam kemalangan dan keduanya terkorban. Tambah menyedihkan kedua remaja lelaki tersebut adalah calon SPM. Kemalangan berpunca daripada jalan tanah merah yang berlecah kesan dari hujan. Motosikal yang mereka tunggangi tidak dapat dikawal lalu telah terbabas melanggar tembok batu.
Begitulah berita sedih yang saya dapat di kampung saya itu. Betapa luluhnya hati ibu bapa mereka, malahan guru-guru turut merasa kehilangan kerana khabarnya mereka adalah pelajar yang baik. Malah, saya juga berasa amat terkilan kerana mereka sedang mengambil SPM. Itulah kuasa Allah; ajal maut di tanganNya. Oleh itu, kita sebagai hamba patut sentiasa bersedia dengan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita nanti.