Cadangan Aktiviti Menarik Selepas UPSR

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Selepas tamatnya UPSR merupakan saat yang paling dinanti-nantikan oleh semua pelajar darjah 6 setelah bertungkus-lumus mengulangkaji dan mengikuti kelas tambahan sama ada siang mahupun malam. Namun, tamatnya UPSR bukan bererti pelajar hanya boleh menghabiskan masa dengan menonton televisyen ataupun bermain games sahaja. Alangkah bagusnya jika masa yang terluang itu digunakan untuk aktiviti yang berfaedah serta bermanfaat untuk diri sendiri pada masa akan datang.

Selepas UPSR
Selepas UPSR

Banyak aktiviti yang sering dilakukan oleh kebanyakkan pelajar selepas tamat UPSR seperti bercuti, mengikuti kem jati diri dan macam-macam lagi. Tidak salah untuk memilih apa jua bentuk aktivit asalkan ianya bermanfaat dan tidak memudaratkan. Adalah lebih baik untuk anda mencari aktiviti yang bukan sahaja dapat mengisis masa lapang, bahkan boleh digunakan untuk masa akan datang serta memberi kebaikan buat diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan selepas tamat UPSR adalah :

Mengikuti kelas kemahiran

Terdapat pelbagai kelas kemahiran yang boleh didapati di seluruh negeri antaranya ialah kemahiran menjahit, kraftangan, memasak dan sebagainya. Mengikuti kelas kemahiran ini tujuannya bukan sahaja untuk mengisi masa lapang bahkan untuk mencungkil bakat dan minat para pelajar untuk masa akan datang. Dengan mengikuti kelas kemahiran ini, pelajar juga dapat menjadikan salah satu platform untuk memilih aliran sekolah menengah pada masa akan datang. Sebagai contoh, jika anda berminat serta mempunyai bakat dalam bidang masakan, anda bolehlah menyambung pelajaran di peringkat Kolej Vokasional selepas tamat tingkatan tiga nanti  dalam aliran kulinari.

Bukanlah terlalu awal untuk memilih aliran tingkatan empat sejurus  tamat UPSR kerana persediaan dan keputusan untuk aliran tingkatan empat nanti perlulah dibuat dengan teliti agar anda tidak menyesal dikemudian hari. Selain itu, proses untuk mengenalpasti minat-hobi (hanya dilakukan untuk mengisi masa lapang dan berkemungkinan untuk berubah pada bila-bila masa) dan minat-bakat (gemar untuk dilakukan serta mempunyai potensi untuk diasah agar menjadi lebih profesional) memerlukan proses yang berterusan serta dalam tempoh jangka masa yang panjang. Berikut merupakan senarai KV dan kursus yang ditawarkan bagi yang berminat dalam melakukan aktivit-aktivit kemahiran.

Kelas Bahasa Inggeris.

Ramai yang beranggapan kelas Bahasa Inggeris ini perkara yang remeh dan boleh dipelajari di sekolah sahaja. Memandangkan pembelajaran di sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu, ada kemungkinan para pelajar tidak begitu ditekankan dengan penggunakan Bahasa Inggeris yang kerap. Ini akan menjadikan pelajar menghadapi kesukaran pada masa akan datang terutamanya apabila menyambung pelajaran di peringkat universiti nanti.

Info Tambahan :  Belajar Seni Bina atau Kejuruteraan Pada Tahun 2023?

Ini kerana di peringkat universiti kebanyakkan subjek diajar dalam Bahasa Inggeris serta beberapa universiti memerlukan tahap kelayakan MUET untuk menyambung pelajaran atau untuk bergraduasi mengikut jenis universiti. Janganlah menganggap tamat UPSR tidak memerlukan kita untuk belajar sama sekali,bahkan mengambil kesempatan ini untuk lebih belajar perkara yang baru adalah lebih baik untuk persediaan masa hadapan.

Kelebihan mengikuti kelas Bahasa Inggeris ini bukan sahaja membantu dalam memperbetulkan struktur bahasa bahkan melatih kita untuk berkomunikasi serta menjadikan kita lebih yakin dalam bertutur Bahasa Inggeris. Percayalah kebolehan bertutur secara lancar dan mempunyai kelebihan dalam Bahasa Inggeris akan memberi kelebihan buat diri sendiri untuk masa akan datang.

Berkebun

Anda ingin melakukan aktiviti yang menyumbang kepada kesihatan tubuh badan dan bumi? Berkebun adalah jawapannya. Walaupun nampak remeh dan kecil skop berkebun ini, namun disebalik dapat menyihatkan tubuh badan, berkebun juga menjadikan kita lebih menghargai kehijauan bumi dan alam sekitar serta mengajar kita untuk menyumbang kepada aktiviti kemasyarakatan dalam skop yang lebih kecil. Sering kali kita dengar ‘kelestarian alam’, kelab alam sekitar’, faedah bercucuk tanam’ dan ‘bahaya pencemaran’ sewaktu kita bersekolah bermula dari sekolah rendah lagi.

Jadi inilah masanya untuk kita mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah selepas tamat UPSR. Berkebun ini sebernarnya mempunyai banyak kelebihan disebalik aktivit yang memerlukan tenaga ini. Antaranya ialah mengasah daya kreativiti dengan cara merancang landskape taman atau kebun. Melalui cara inti juga kita dapat melihat kebolehan serta kreativiti kita dalam berkebun. Disamping itu, aktiviti ini juga tidak memerlukan kos yang terlalu banyak atau kos berterusan.

Berniaga online

Walaupun baru sahaja tamat UPSR, umur bukanlah penghalang untuk kita menjadi perniaga yang berjaya. Daripada menghabiskan masa terluang dengan laman sosial yang tidak berfaedah, adalah lebih baik untuk menggunakan platform laman sosial itu untuk memepelajari ilmu perniagaan di samping mencari duit poket sendiri. Jika para peniaga memerlukan modal yang banyak untuk memulakan perniagaan, pelajar lepasan UPSR boleh memulakan perniagaan dengan menjual barang pre-loved (barang yang sudah digunakan namun masih dalam keadaan yang elok dan boleh digunakan) seperti tudung, baju, kasut, buku dan mainan di laman sosial.

Info Tambahan :  FlySISWA 2023: Bantuan Penerbangan Pelajar Semenanjung-Borneo

Dengan cara ini, kos perniagaan juga dapat dikurangkan. Namun, apa yang penting adalah untuk meminta kebenaran dan bantuan dari ibu bapa terlebih dahulu untuk melakukan aktivit ini keranya ianya agak sukar dan memerlukan pemantauan orang dewasa bagi mengelakkan masalah timbul di masa akan datang. Walaupun aktiviti ini berisiko dan agak sukar, namun tidak salah jika anak-anak dilatih untuk berniaga sejak dari kecil dan berkemungkinan ianya boleh dijadikan sebagai suatu pekerjaan di masa akan datang memandangkan masa kini, pekerjaan begitu sukar untuk dicari. Sokongan dan pemantauan dari ibu bapa adalah amat penting dalam memastikan aktiviti ini berjalan lancar tanpa ada masalah.

Menyertai pertandingan

Terdapat pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan mahupun badan-badan luar kerajaan terutamanya apabila menjelang sambutan yang istimewa seperti Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Hari Raya dan lain-lain sambutan. Ambillah kesempatan ini untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan bagi mengisi masa lapang disamping dapat mengumpul sijil atau pingat sebagai kenangan di masa hadapan.

Antara pertandingan yang boleh disertai oleh pelajar lepasan UPSR adalah pertandingan mewarna, melukis, mendeklamasikan sajak dan macam-macam lagi. Ambillah peluang ini untuk mengumpul sijil kerana sijil merupakan bahan penting yang dijadikan sebagai bukti anda telah mengikuti program atau penghargaan terhadap pencapaian anda dalam aktiviti atau program yang dianjurkan. Terdapat pelbagai pihak yang menganjurkan pertandingan yang bersesuaian untuk pelajar lepasan UPSR terutamanya pihak penerbit buku atau majalah kanak-kanak.

Terdapat banyak lagi sebenarnya aktiviti yang boleh dilakukan namun apa yang penting, kita mestilah bijak memilih aktiviti yang berfaedah serta membantu kita pada masa akan datang. Walau apa jua aktiviti yang ingin dilakukan, pelajar digalakkan untuk mendapatkan persetujuan dari ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu. Ibu bapa juga disarankan untuk turut bekerjasama dengan anak dalam melakukan sebarang aktiviti masa lapang mereka sepanjang tempoh cuti tamat UPSR bukan sahaja untuk memastikan keselamatan bahkan demi meluangkan masa anda bersama mereka.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top