Keputusan peperiksaan SPM telah pun diumumkan. Pelajar-pelajar giat mencari biasiswa yang diharapkan mampu menaja mereka sepanjang pengajian di universiti kelak. Antara biasiswa yang sering menjadi idaman atau rebutan para pelajar yang cemerlang tidak lain tidak bukan ialah biasiswa JPA. Biasiswa JPA merupakan singkatan bagi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.
Bagi penulis, tidaklah keterlaluan jika dikatakan biasiswa ini merupakan antara biasiswa berprestij dalam negara. Hal ini demikian kerana pelajar yang layak atau berjaya akan ditaja di peringkat persediaan hingga ijazah pertama dalam bidang yang ditetapkan kerajaan di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Anda ingin memohon biasiswa JPA? Dalam entri kali ini saya kongsikan cara mohon biasiswa JPA serta syarat biasiswa terkini:
Cara Mohon Biasiswa
- Pelajar yang berminat perlu mengisi borang permohonan secara atas talian. https://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=PC9A
- Pelajar perlu mendapatkan surat tawaran daripada institusi pengajian (peringkat persediaan) sebelum melengkapkan permohonan sebelum atau pada tarikh tutup.
- Setelah itu, dokumen seperti slip pengesahan pemohon, salinan kad pengenalan pemohon dan surat tawaran institusi pengajian perlu dihantar secara softcopy ke alamat email iaitu [email protected].
- Surat tawaran penajaan JPA akan dikeluarkan selepas dokumen lengkap diterima
- Sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi talian 03-8885 3070/3555/3045/3066/3076 pada setiap hari bekerja mulai dari pukul 8.30 hingga 5.00 petang.
Syarat Terkini Biasiswa JPA
- Warganegara Malaysia
- Mempunyai kesihatan yang baik
- Menduduki peperiksaan SPM tahun semasa kali pertama di mana-mana sekolah menengah termasuklah sekolah khas, sekolah swasta dan calon-calon persendirian
- Mendapat 9A+ dalam peperiksaan SPM
- Memulakan pengajian peringkat persediaan sebelum atau pada 31 Disember tahun penawaran
- Ibu bapa atau ahli keluarga tidak disenaraihitamkan oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA
- Calon tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak lain
- Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember pada tahun SPM diduduki
- Sekiranya pelajar ditawarkan lebih daripada satu program penajaan oleh JPA, pelajar hanya boleh memilih satu sahaja program penajaan JPA dan tawaran-tawaran lain JPA terbatal secara automatik.
Namun begitu, biasiswa JPA merupakan salah satu pilihan biasiswa daripada biasiswa-biasiswa yang ada seperti biasiswa PETRONAS, biasiswa KPM dan MARA. Sekiranya anda, pelajar cemerlang tetapi tidak berhasil mendapatkan tajaan, jangan risau keranan banyak lagi bantuan kewangan yang lain seperti PPBU oleh Bank Rakyat dan pinjaman mengikut negeri.
Apa yang penting anda berusaha dari sekarang, sentiasa alert dan bersedia untuk memohon apa-apa pinjaman atau biasiswa yang ada. Rajinkan diri untuk menyemak portal – portal biasiswa atau langgan terus melalui email agar anda tidak terlepas mana-mana info atau maklumat terkini.