Zaman sekarang yang mengutamakan pembangunan dan kemajuan diri menyebabkan banyak orang yang lalai dalam menjaga kesihatan diri sendiri. Pernahkah anda keluar bekerja pada awal pagi dan pulang lewat petang sehingga anda tidak langsung merasai terik mentari kerana terperap sahaja di pejabat? Atau pernahkah anda bergegas ke sana ke mari menyiapkan tugasan kerana ‘dateline’ telah hampir tiba? Semua ini tidak hanya terjadi kepada mereka yang bekerja tetapi turut memberi kesan kepada mereka yang masih belajar. Disebabkan itulah, zaman ini statistik penyakit tidak berjangkit adalah sangat tinggi. Semuanya gara-gara gaya hidup kita yang tidak sihat.
Apakah itu penyakit tidak berjangkit? Penyakit tidak berjangkit atau NCD (non communicable disease) adalah penyakit yang tidak dapat disebarkan kepada orang lain. Contohnya adalah penyakit diabetes atau kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, dan kanser. Penyakit-penyakit sebegini biasanya disebabkan cara pemakanan atau gaya hidup yang tidak sihat yang diamalkan sejak bertahun-tahun.
Oleh itu, kita harus segera mengambil tindakan untuk memastikan kesihatan kita di tahap yang optimum demi masa depan kita dan generasi masa depan kita.
Tip 1 – Amalkan pemakanan sihat
Berfikirlah sebelum anda mengambil sebarang makanan. Pastikan sumbernya adalah dari jenis yang sihat, tidak berlebihan dan sesuai dengan keperluan harian anda.
Sarapan – Kajian saintifik membuktikan jika anda memulakan hari dengan sarapan yang seimbang, anda boleh fokus, meningkatkan tahap tumpuan, kepintaran dan daya ingatan.
Makan tengah hari – Jangan sesekali tinggalkan makan tengahari tidak kira sibuk manapun anda. Namun begitu, elakkan makan terlalu kenyang yang boleh menyebabkan anda berasa kembung, mengantuk dan tidak produktif.
Makan Malam – Sentiasa ingat untuk mengambil makanan yang seimbang, pelbagai dan tidak makan berlebihan. Pulang awal ke rumah untuk makan makanan yang dimasak di rumah dengan ahli keluarga.
Tip 2 – Pilih makanan dengan bijak
- Sentiasa memilih makanan yang disediakan dengan cara sihat seperti mengukus, membakar atau sup berbanding makanan bergoreng.
- Pilih makanan rendah lemak, gula dan garam.
- Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian harian anda
- Elakkan mengambil terlalu banyak kuah, kerana ia biasanya tinggi lemak dan garam.
- Pilih makanan berasaskan bijirin penuh.
- Pilih makanan tinggi serat.
- Minum banyak air kosong dan elakkan minuman manis dan bergas.
Tip 3 – Lebih aktif dengan senaman
WHO ataupun Organisasi Kesihatan Dunia menyarankan agar seseorang itu bersenam setiap hari selama 30 minit setiap kali. Jika merasakan sukar, cuba amalkan senaman 3 hari seminggu selama 30 minit setiap kali. Jadikan amalan agar anda tidak akan meninggalkannnya. Mulakan dengan senaman yang seringkas-ringkasnya iaitu berjalan pantas. Kemudian jika mampu tingkatkan kepada joging, berlari, atau apa-apa senaman yang lebih berat.
Jadikan juga perbuatan harian anda sebagai senaman. Contohnya, banyakkan menggunakan tangga berbanding lif. Parkirlah kenderaan anda agak jauh dari tempat yang dituju agar anda membanyakkan berjalan. Elakkan juga menggunakan kenderaan jika ingin ke kedai yang berdekatan dengan rumah. Amalkan juga menggunakan kenderaan awam jika mampu.
Tip 4 – Pantau kesihatan anda
Jadualkan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya 6 bulan sekali sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa tanda penyakit.
Pastikan juga anda sentiasa memantau berat badan dan tinggi anda dan kiralah BMI ataupun Indeks Jisim Badan yang dapat membantu menentukan tahap kesihatan anda secara kasar. Perkara ini dapat anda lakukan sendiri di rumah.
Dapatkan bantuan pakar sekiranya anda menghadapi apa-apa masalah.
Sekian.
diolah dari:
[4 langkah hidup sihat – UTUSAN MALAYSIA]