Setiap ibu bapa mengidamkan anak yang cemerlang, harapan tinggi bagi memastikan anak mampu mendapatkan kelulusan yang tinggi seterusnya mampu mendapatkan pekerjaan yang baik. Pekerjaan yang baik mampu menjamin keselesaan dan keseimbangan emosi anak apabila besar nanti. Namun demikian ibu bapa harus terlebih dahulu memulakan dirumah. Latihan dan tindakan perlu bagi memupuk pecutan dalam kecemerlangan anak-anak.
Memberi galakan dan semangat untuk anak melakukan yang terbaik adalah perlu. Hal ini kerana setiap perkara memerlukan kesungguhan dalam mencapainya. Ibu bapa boleh memupuk semangat anaknya supaya ingin dan seronok melakukan sesuatu dengan terbaik. Usaha yang lebih mampu menghasilkan hasil yang tidak kurang lebihnya.
Kadangkala, terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh anak-anak kita dalam kehidupan. Ini termasuk kerja rumah, tuisen, aktiviti permainannya, kelas tambahan dan sebagainya. Adalah perlu bagi ibu bapa untuk membantu anak menguruskan jadual hariannya. Lebih baik lagi jika ibu bapa membantunya menyelia jadual harian anak serta memberi bantuan dalam mencapai target jadual hariannya. Hal ini penting bagi sesetengah anak untuk menjadikan hidupnya lebih teratur dan banyak perkara berfaedah dapat dilakukan pada setiap harinya.
Buku latihan dan rujukan juga amat perlu untuk melahirkan anak cemerlang, untuk mencapai kecemerlangan kadangkala perlu untuk anak membaca lebih dari satu buku supaya ilmu yang dibaca lebih meluas mengikut pelbagai persepsi dan olahan.
Ada juga masa ibu bapa perlu mengajar anak-anak terutama dalam pelajaran. Kadangkala anak lebih minat dan rasa tertarik apabila ilmu yang didapati dari kedua ibubapanya. Malah ada anak-anak yang akan terkenang-kenang sebutan yang dikeluarkan ibubapanya walaupun semasa peperiksaan. Keadaan ini berlaku kerana tahap keserasian yang terjalin semasa kehidupan anak tersebut.
Pemantauan juga perlu bagi kerja rumah dan latihan yang anak lakukan di sekolah. Melalui kaedah ini anak lebih prihatin dalam pelajaran dan kadangkala rasa dihargai bila kerja yang dihasilkan dilihat oleh kedua ibu bapanya. Pemantauan ini boleh dilakukan walaupun hanya satu kali seminggu.
Ilmu di sekolah kadangkala perlu diperbaharui terutama pada waktu cuti. Malahan situasi yang biasa disekolah mampu mengurangkan sedikit kosentrasi anak. Bagi yang berkemampuan adalah wajar untuk menghantar anak belajar intensif termasuk tuisyen bagi matapelajaran yang lemah.