Guru – Kesan Perubahan Zaman Terhadap Fungsi dan Kedudukan Guru dalam Masyarakat
Guru adalah pengajar atau pendidik dalam sesebuah institusi pendidikan. Walaupun pada masa kini pelbagai gelaran digunapakai, hakikatnya, guru tetap guru sama ada dipanggil cikgu, ‘sir’, ‘teacher’, ustaz, ustazah, pensyarah, doktor, professor, atau lain-lain lagi. Tugas mereka adalah sama yakni mangajarkan ilmu pengetahuan kepada anak murid atau pelajar. Oleh sebab itu, pada pendapat saya, adalah sangat bagus jika pelajar dapat mengucapkan selamat hari guru kepada pensyarah mereka, namun pada zaman kini, pensyarah amat mudah menghina pangkat guru tersebut. Bagi kebanyakan orang guru hanyalah mereka yang mengajar di peringkat sekolah sama ada rendah atau menengah. Salahfahaman ini amatlah sukar untuk dibendung.
Walaubagaimanapun, berbalik kepada tajuk kita di atas, guru pada zaman dahulu dan sekarang amatlah berbeza. Perbezaan yang ketara wujud dalam pelbagai bentuk. Pertama, perubahan penerimaan masyarakat terhadap guru, seterusnya perubahan taraf guru dalam sistem pendidikan dan juga perubahan guru itu sendiri. Apakah penyebab semua ini berlaku dan bagaimana ia berlaku adalah melibatkan pelbagai faktor yang tidak dapat saya sebutkan semuanya di sini. Apapun, akan diperjelaskan beberapa perkara penting sahaja yang didalam pengetahuan saya yang amat terhad ini.
Selain daripada itu, sistem pendidikan juga semakin hari semakin diubah. Kedudukan guru juga dilihat semakin berbeza daripada dahulu. Dahulu, pekerjaan sebagai guru dianggap paling menjamin masa depan. Anak-anak lepasan sekolah yang menyertai maktab perguruan adalah sangat disanjung tinggi. Diceritakan ibu saya, dahulu apabila habis sekolah, ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi jurusan perguruan. Selalu saya mendengar, ibu berkata kepada anak-anak yang gagal; “Kalau dulu jadi cikgu kan dah senang”. Tetapi di zaman kini amat berbeza, bukanlah kerana gaji guru makin sedikit atau apa. Malahan guru adalah lebih mewah sekarang berbanding dahulu. Apa yang dilihat sekarang anak-anak muda lebih mahu menjadi doktor, jurutera, saintis dan sebagainya. Cita-cita sebegini turut diterapkan oleh ibu bapa. Kita semakin menuju ke alaf baru, alaf sains. Semua berkejar-kejar menjadi pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Sudah tidak ramai yang benar-benar ikhlas ingin menjadi guru. Kerana itulah sekarang dikatakan guru banyak makan gaji buta. Masuk kelas, suruh pelajar salin nota dalam buku teks, kemudian dibiarkan sahaja. Bukanlah semua guru begini, hanya sebahagian kecil sahaja.
Sikap guru pada masa kini juga amat berlainan. Ia mungkin kesan daripada tekanan dari masyarakat atau mungkin juga cara terkini proses pembelajaran. Lihat sahaja dalam berita di televisyen mahupun akhbar, ada guru yang meliwat pelajar, merogol pelajar, memukul pelajar dengan teruk, mengabaikan pelajar, dan sebagainya. Mungkin peratusannya amat kecil namun kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Cikgu saya dahulu sangat garng dan tegas. Pada masa saya kecil saya menganggap mereka melampau namun kini saya merasakan bahawa jika tiada ketegasan dan kegarangan mereka, mungkin saya tidak menjadi manusia yang berguna sekarang. Saya amat berterima kasih kepada guru-guru saya. Walaupun sebahagian besar daripada mereka sudah saya tidak ingat nama, tapi saya yakin mereka ada menyumbang ilmu yang ada dalam dada saya sekarang. Haruslah difahami, perubahan terhadap sikap dan tindakan guru bukan kerana satu faktor, tetapi melibatkan bermacam-macam faktor yang berbeza. Tiada pihak perlu dipersalahkan.
Kesimpulannya, guru merupakan satu institusi terpenting dalam negara untuk membentuk anak bangsa. Tidak kiralah diperingkat sekolah, kolej, universiti atau apa sekalipun. Hormatilah setiap insan bergelar guru. Kita tidak dapat berjalan jika tidak ada tangan yang mengangkat kita dahulu. Kepada ibu bapa khususnya dan msyarakat amnya, guru mempunyai darjat yang tinggi, malah disisi Tuhan sekalipun guru dihormati. Oleh itu, kita haruslah berusaha kearah yang lebih baik.
Wallahualam.
Disediakan oleh: niaron