Cinta mungkin mempunyai seribu rahsia, mungkin kali ini pertama kali xpresi menyentuh tentang cinta. Untuk kali ini kita akan membincangkan tentang jenis cinta antara manusia yang mana membincangkan 3 aspek sahaja. Cinta ini merupakan normal untuk seorang manusia apabila mencapai kematangan tertentu. Seseorang yang menolak cinta boleh dikatakan tidak normal kerana sifat semulajadi manusia ingin disayangi serta mahukan seseorang untuk berkongsi dalam kehidupannya. Hal ini diperkukuhkan oleh Adler, Maslow, Rojers dan ramai lagi. Namun demikian cinta sebenar ialah cinta yang mengutamakan maruah, menjaga batasan pergaulan, bercinta pada usia yang bersesuaian serta sentiasa memberikan aspek positif dalam perhubungan.
Cinta secara ‘ mania ‘ merupakan cinta yang perlu dijauhi oleh mana-mana insan. Cinta ini adalah berdasarkan keseronokan semata-mata serta terlalu taksub dengan cinta. Sebut tentang keseronokan sudah tentu ia berkaitan dengan nafsu yang membuak-buak. Bercinta dibawah pengaruh ini mementingkan kecantikan tubuh badan, rupa paras serta melakukan perbuatan yang terlalu taksub dengan cinta itu sendiri. Ketaksuban itu adalah mengenai keseronokan yang kadangkala menuntut pengorbanan maruah serta kadangkala menimbulkan pemikiran yang tidak rasional.
Cinta dibawah erti pengorbanan merupakan golongan yang sederhana kerana cinta ini bukan menguntungkan kedua belah pihak. Cinta ini hanya memberikan keuntungan sebelah pihak kerana cinta ini menuntut pengorbanan dari salah seorang. Cinta ini merupakan cinta yang sederhana baik kerana ia tidaklah semata-mata menurut nafsu, tetapi ia boleh merugikan sebelah pihak kerana sanggup berkorban demi cinta yang bersungguh kepada sebelah pihak lagi.
Cinta dibawah persahabatan adalah yang rasional kerana ia lebih mementingkan situasi menang-menang. Cinta ini mementingkan kebaikan yang diperoleh kedua belah pihak. Cinta ini mementingkan konsep persahabatan yang mana menghormati kehormatan masing-masing serta bekerjasama dalam membina rumahtangga serta berusaha mencapai kejayaan dalam hidup. Cinta ini banyak berdasarkan rasional pemikiran kerana cinta ini lebih mengutamakan matlamat dan cita-cita berbanding perasaan seronok.