Untuk kali ini kita akan merenung kembali tentang kejayaan hidup kita, hal ini kerana penting untuk kita kenang segala yang telah berlaku supaya kita kenal erti bersyukur. Melalui imbauan kembali kenangan dapat memberikan refleksi kendiri yang positif serta membantu kita mengenalpasti positif dan negatif perkara dalam hidup kita.
Mungkin ketika kita berfikiran tentang kejayaan kita banyak yang telah kita capai pada hari ini, mungkin hari ini kita telah berjaya, mempunyai ilmu yang kita ingin belajar, menghadapi keselesaan dan kegembiraan serta kemudahan dalam hidup. Sedarkah kita bahawa sebenarnya kejayaan dan kegembiraan kita itu adalah hasil dari jasa ramai orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung?
Pernahkah kita menghitung berapa ramai yang telah terlibat? banyak, sangat banyak. Ini belum dikira individu yang tidak langsung termasuk penunjuk jalan ketika kita sesat, pengawal keselamatan dan sebagainya. Begitu juga individu yang terlibat secara langsung seperti ibu kita, ayah, adik, kakak, abang, isteri, anak, kawan-kawan, cikgu tadika , guru-guru, pensyarah, penceramah, orang alim dan banyak lagi.
Dengan berdirinya kita disini harus kita sedar bahawa tanpa jasa mereka semua siapa diri kita sekarang. Seharusnya kita mendoakan, bersyukur dan sentiasa kenang segala kenangan dan tunjuk ajar serta nasihat mereka. Sesungguhnya kita insan yang serba kekurangan, diri kita sebenarnya melalui pengalaman dari jasa orang lain yang menjadi wadah hidup kita sehingga hari ini.