Tepat jam 12 tengah hari. Hizana masih merenung halaman utama yang tertera di telefonnya. Tangannya menggeletar. Dia tidak bersedia dengan mindanya ligat bermain dengan seribu satu persoalan yang dia sendiri tidak pasti. Beberapa minit berlalu akhirnya dia nekad menekan perkataan yang tertera pada skrin.


ENTER
Tidak mengambil masa yang lama, terpapar slip keputusan penuh STPM miliknya. 3.17 keseluruhan pointer yang diperoleh. Bukan itu yang membuatkan Hizana berdebar. Anak matanya disorot ke bawah bagi melihat pointer setiap subjek. Saat melihat subjek Pengajian Am, hatinya ibarat hancur berkecai. 1.67. Telefon di tangan terlepas begitu saja. Dia menangis hiba. Harapannya bagi melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi punah begitu saja. Subjek wajib lulus bagi melanjutkan pelajaran ke universiti awam namun gagal diperoleh menyebabkan dia secara automatik tidak dapat masuk ke mana-mana universiti dalam peringkat ijazah sarjana muda.
Ya Allah, kenapa aku?
Pernah berada dalam situasi berikut? Seandainya situasi itu berlaku pada anda. Anda akan turut mengalami perasaan yang sama atau anda lebih positif. Sekiranya anda seorang yang positif, Alhamdulillah. Namun, bagaimana pula keadaanya dengan pelajar yang tidak boleh menerima kenyataan tersebut? Ketika itu, perasaan yang hadir ibarat hidup ini sudah tiada gunanya lagi. Harapan dan impian yang dirancang rapi musnah begitu sahaja. Sehinggakan kita mempersoalkan semula mengapa keputusan itu yang diperoleh sedangkan kita sudah buat yang terbaik?
Tarik nafas. Pejamkan mata. Biarkan saja air mata itu mengalir. Satu perkataan. BANGKITLAH. Tidak semestinya keputusan yang diperoleh merupakan jalan terakhir untuk anda berjaya. Sekiranya anda bergantung sepenuhnya pada keputusan tersebut maka anda tidak akan nampak ‘jalan’ yang sebenarnya untuk anda tempuh. Hal ini disebabkan anda terlalu berasa sedih tanpa dapat berfikir apa-apa. Anda mengikut perasaan dan hanya memikirkan satu hala bagi menuju kejayaan sedangkan kejayaan itu boleh diperoleh dengan cara yang sangat banyak. Soalnya antara anda mahu bangkit semula dari kesedihan itu atau terus bersedih melayan perasaan anda?
Fikirkan peluang yang lain untuk anda melanjutkan pelajaran. Jangan terlalu memikirkan kata-kata orang lain. Kita sedia maklum mulut manusia tidak dapat ditutup. Sekiranya anda ada perasaan ingin belajar maka anda sepatutnya meneruskan niat suci itu. Bermula dari bawah bukanlah sesuatu yang memalukan namun mengajar anda supaya matang apabila menghadapi situasi yang mencabar. Banyak cabang kejayaan yang boleh anda ceburi seperti mengambil sijil kemahiran. Adakah anda tahu bahawa pelajar yang peroleh sijil kemahiran mempunyai peluang yang cerah dalam sektor pekerjaan? Selagi anda ingin belajar anda perlu merebut semua peluang yang ada bagi merealisasikan impian anda. Sentiasa bersikap positif. Yakin pada diri anda. Abaikan pandangan yang negatif. Buang segala andaian buruk yang terdapat dalam minda anda yang akhirnya boleh membuatkan anda berasa lemah. Teruskan apa yang anda mahu lakukan. Sekiranya jatuh jangan malu untuk bangun semula.
Hikmah besar menanti anda. Takdir yang terjadi pada anda bukan satu kesilapan tapi ketentuan Tuhan. Jangan mempersoalkan mengapa anda yang terpilih untuk berada dalam ujian tersebut. Tuhan tahu apa yang terbaik untuk anda. Boleh jadi apabila anda peroleh keputusan yang cemerlang, anda tidak bersyukur, riak dan sebagainya. Dan boleh jadi juga Tuhan mahu menguji tahap keikhlasan anda belajar. Namun dalam situasi berikut, Tuhan sebenarnya sayang kepada anda. Dia mahu anda ingat kepadaNya kerana manusia apabila ditimpa ujian baru dia tahu bagaimana mahu menadah tangan kepadaNya. Dalam setiap dugaan terselit hikmah yang anda sendiri tidak sedar. Saat itu anda akan berasa bersyukur kerana terpilih dalam dugaan tersebut. Anda sebenarnya kuat. Beri kepercayaan pada diri anda untuk tabah menghadapi situasi yang berlaku. Rezeki Tuhan itu sangat luas. Teruskan berusaha, berdoa dan jangan putus asa. Lambat-laun Tuhan pasti akan perkenankan setiap doa anda.
Dalam situasi tadi akhirnya Hizana berfikiran positif untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat diploma walaupun memakan masa yang agak lama berbanding ketika di tingkatan 6. Hizana sedar dia perlu menggunakan peluang yang ada. Dia perlu bangkit dari kesedihan kerana dia percaya perasaan sedih itu sekiranya dilayan tidak akan membuahkan hasil. Mujur keputusan SPM dua tahun yang lalu sangat memberangsangkan. Oleh itu, Hizana mengambil keputusan bagi melanjutkan pelajaran menggunakan keputusan tersebut. Kerana Hizana yakin ketentuan yang tertulis bukan kebetulan namun mengajarnya erti manis pengorbanan.
Bangkit. positif, teruskan usaha, usah berputus asa. Ingatlah… “ANDA BUKAN GAGAL. CUMA KEJAYAAN YANG TERTANGGUH!”