Kepentingan Membaca

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Oleh : Zuridah Hanim Bt Md Akhir ( Guru Cemerlang )

Kepentingan Membaca 1
Buku

Pengetahuan amat penting dalam mengharungi kehidupan terutama pada zaman globalisasi.  Setiap insan yang berilmu akan mampu untuk bersaing dalam zaman ledakan maklumat ini.  Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Zumar ayat 9 yang bermaksud “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”  Berdasarkan maksud ayat ini jelaslah kepada kita hanya orang yang membaca dapat menambah ilmu serta dapat menggunakan ilmu tersebut untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Buku, baca dan tulis sememangnya konsep ‘Iqra’ dalam kehidupan.  Ketiga-tiganya bersatu harmonis sepanjang sejarah kehidupan manusia untuk merakam, mendokumentasi dan memberi penawar kepada manusia seperti kata Ann Quindlen dalam bukunya How Reading Changing My-Life (1998): “Saya percaya membaca pelbagai karya orang luar akan mengajar kita untuk mengetahui, menghayati dan mentafsir pengalaman orang lain dan hal ini menjadikan saya menemui mutiara-mutiara baru dalam kehidupan saya”.  Di samping itu, ada pendapat yang mengatakan menulis adalah satu terapi untuk mengatasi trauma dan kekecewaan selain budaya  menulis itu sebagai pengasah minda. Selain itu, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah menyebut bahawa “Tanpa berlengah-lengah saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia.” Sememangnya membaca itu dapat mengungkapkan dialog, kekayaan imaginasi, luapan emosi dan gelora kreativiti berkenaan hal-hal yang bersahaja sehingga ke peristiwa agung dalam kehidupan.  Kesimpulannya menerusi buku dan pembacaan manusia terus hidup di dalamnya.

Info Tambahan :  Link Permohonan UPU dan Permohonan Pengajian Tinggi

Membaca mempunyai perkaitan yang cukup rapat dengan budaya Ilmu dan kewajipan untuk menuntut ilmu. Sesungguhnya kewajipan menuntut ilmu ini tidak hanya difokuskan kepada para pelajar sahaja tetapi kepada seluruh umat manusia kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”.  Jika diteliti, baharulah kita menyedari bahawa menuntut ilmu ini  jika semakin didalami, didapati semakin banyak pula yang tidak diketahui.  Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud ”Sekiranya lautan menjadi tinta untuk melukiskan kalimat-kalimat Allah S.W.T  nescaya tinta itu akan habis sebelum selesai ditulis kalimat-kalimat itu”.  Ini jelas menunjukkan yang ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan manusia terutamanya ketika semua pihak sedang bersaing untuk mencari ilmu yang berkualiti bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa.

Info Tambahan :  Kad Siswa 2023: Cara Untuk Dapat dan Faedah

Dalam hal ini, prasyarat bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa ialah penguasaan ilmu pengetahuan dan pembinaan budaya ilmu yang cemerlang. Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang baik. Hal ini kerana ilmu dalam diri setiap individu atau bangsa, bukan sahaja kekal tetapi boleh memberikan keupayaan memulihkan diri dalam menghadapi sebarang kerumitan dan cabaran.

Dengan perkataan lain, dalam mana-mana bangsa yang bertamadun dan maju, ilmu adalah aspek yang begitu dominan dalam proses pembinaannya. Budaya ilmu itu berkembang dan dikembangkan kepada setiap masyarakat pada tahap awal era perubahan sehingga zaman peningkatan dan konsistensi kecemerlangan. Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukadimah pernah berkata bahawa “Kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa  tersebut.”

Sesungguhnya, hanya dengan mempunyai ilmu yang mantap sahajalah, para pelajar pada hari ini akan memiliki jati diri yang unggul dan terselamat daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak diingini sekaligus akan memenuhi hasrat kerajaan untuk mencapai tahap Negara maju mengikut acuan tersendiri menjelang tahun 2020. Segalanya bermula dengan kalimah MEMBACA !.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *