Kerja dan Kerjaya dalam Bidang Sains Tulen

Hargai Kami, Kongsi Info Ini Pada Rakan Anda !
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Bidang sains tulen merupakan antara bidang yang popular dalam kalangan pelajar tidak kira pelajar sekolah menengah mahupun pelajar universiti. Apabila sebut sahaja sains tulen, terus terbayang dalam fikiran kita subjek-subjek sains seperti fizik, kimia, biologi serta subjek matematik. Subjek-subjek ini sebenarnya subjek yang kritikal dan boleh dikatakan killer subject bagi kebanyakan pelajar. Hal ini demikian kerana subjek-subjek ini memerlukan daya penaakulan dan analisis yang tinggi serta turut melibatkan sistem pengiraan yang rumit. Justeru, biasanya yang mengambil aliran sains tulen merupakan pelajar yang cemerlang. Jom kita lihat prospek kerjaya yang sesuai dalam bidang sains tulen.

  1. Doktor Perubatan

Sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat, anak-anak yang cemerlang dan mendapat semua A akan digalakkan untuk mengambil jurusan perubatan. Hal ini demikian kerana bayaran yang lumayan sesuai dengan kerumitan pekerjaan sebagai seorang doktor itu sendiri. Walau bagaimanapun, suka diingatkan kepada pelajar yang berminat untuk menjadi seorang doktor, anda perlu mempunyai passion atau minat yang mendalam untuk menjawat profesion sebagai seorang doktor. Sekiranya anda seorang yang suka menolong orang dan mempunyai daya empati yang tinggi, anda mungkin sesuai untuk menjadi seorang doktor. Bukan itu sahaja, selain passion, anda perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Ketahanan ini bukan sahaja diperlukan ketika dalam proses pembelajaran lima tahun bahkan diperlukan juga semasa sudah berada dalam alam pekerjaan. Apa tidaknya, seorang doktor sudah pasti perlu menghadapi on-call yang kadang kala tidak menentu.

2. Doktor gigi

Kerjaya sebagai seorang doktor gigi juga popular dan menjadi idaman sebahagian pelajar yang mahukan kerjaya yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Doktor gigi kebiasaannya bekerja di klinik gigi kerajaan dan klinik swasta. Pengalaman penulis, doktor gigi yang bekerja di klinik swasta atau mempunyai klinik sendiri, pendapatannya jauh lebih lumayan berbanding yang bekerja di sektor kerajaan. Contohnya, ketika ingin mendapatkan RCT ( root canal treatment) atau dalam bahasa Melayunya, rawatan akar, penulis diberitahu harga rawatan tersebut mencecah RM700 untuk sebatang gigi. Oleh itu, penulis berpendapat, pekerjaan sebagai seorang doktor gigi sememangnya lumayan dan menguntungkan.

3. Ahli farmasi

Pekerjaan sebagai seorang ahli farmasi turut didambakan oleh pelajar yang berminat dengan bidang ubat-ubatan.Seorang ahli farmasi boleh bekerja sama ada di hospital, kedai farmasi komuniti, industri farmaseutikal, unit penguatkuasaan farmasi, Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Universiti atau Bahagian Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia. ( Sumber: Laman web Pusat Racun Negara).

4. Guru

 Sekiranya mempunyai passion dalam bidang pendidikan, pelajar-pelajar digalakkan untuk mengambil jurusan pendidikan bagi membolehkan pelajar menjadi seorang guru sama ada di sekolah rendah atau guru sekolah menengah. Antara pilihan yang ada ialah pelajar boleh memilih untuk menjadi guru biologi, guru fizik atau guru kimia yang sememangnya sangat diperlukan di sekolah-sekolah. Apabila menjadi guru, jadilah guru yang berkaliber dan kreatiflah ketika menyampaikan pengajaran kepada murid-murid. Guru yang bijak ialah guru yang mampu menjadikan subjek susah kelihatan mudah seterusnya digemari oleh murid-murid.

5. Latihan separa perubatan ( diploma dan sijil)

Pernah dengar laman web SPA? Anda boleh memohon program latihan separa perubatan melalui laman web tersebut selepas SPM. Dalam bahasa Inggeris, latihan separa perubatan turut dikenali sebagai paramedical training. Antara program yang ditawarkan di peringkat diploma ialah latihan jurupulih perubatan fisioterapi, jurupulih perubatan cara kerja, jururawat, juruterapi pergigian, juru X-ray, penolong pegawai perubatan dan sebagainya. Manakala latihan separa perubatan peringkat sijil pula ialah latihan pembantu kesihatan awam dan pembantu pembedahan pergigian. Keistimewaan memohon program latihan separa perubatan ialah anda akan mendapat penempatan sejurus habis belajar dan turut diberi elaun dan biasiswa ketika masih dalam latihan.

Bagaimana? Sudah nampak hala tuju anda? Belajarlah bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian anda. Hal ini bertepatan dengan kata-kata hikmah Inggeris, if you fail to plan, you plan to fail.

 

p/s : Jangan lupa untuk Join kami di Telegram untuk lebih pantas menerima berita Kerja kosong atau permohonan lain seperti biasiswa. Join Telegram

Komen/ Pertanyaan Anda?

avatar
  Subscribe  
Notify of