Kewajipan Menyampaikan Ilmu

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Kewajipan Menyampaikan Ilmu

Erti hadis: Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., sesungguhnya Nabi SAW bersabda;

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ‘ayat’ dan ceritakanlah mengenai Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan dosa.”                                                       (Riwayat al-Bukhari)

Keterangan hadis:

–          ‘Ayat’ disini bermaksud nasihat atau pedoman yang membezakan perkara yang baik dan buruk.

–          Nabi SAW telah menegah daripada menceritakan tentang Bani Israil ketika hukum-hakam Islam dan tapak agama belum kukuh, kerana dikhuatiri fitnah. Apabila tiada lagi perkara yang perlu dikhuatirkan maka diizinkan agar boleh diambil iktibar.

(Fath al-Bari)

Jelas sudah seperti yang dinyatakan di dalam hadis diatas bahawa semua orang mempunyai kewajipan untuk menyampaikan ilmu. Dan ilmu yang perlu disampaikan adalah ilmu yang baik-baik.seseorang tidak seharusnya menyampaikan ilmu yang tidak bermanfaat seperti cara memecah masuk rumah orang lain, atau cara menipu dan sebagainya. Malah adalah tidak elok untuk mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara tersebut. Namun kiranya seseorang mempunyai pengetahuan sebegitu, ia adalah suatu perkara yang tidak patut diamalkan.

Arahan daripada Nabi SAW tidak boleh diambil ringan. Sekiranya ayat daripada Rasulullah diabaikan maka ramailah umat pada zaman selepas Baginda tidak akan mengetahui banyak perkara. Tetapi alhamdulillah, umat pada masa kini masih mampu mendengar hadis-hadis daripada Baginda SAW yang diriwayatkan oleh para sahabat. Oleh itu, ianya perlu terus disampaikan generasi ke generasi agar tidak akan luput.

Cara menyampaikan sesuatu perkara yang baik ada pelbagai. Kita boleh menyampaikan ilmu secara terus seperti guru disekolah yang secara langsung berhadapan dengan murid atau pelajar. Mahupun kita boleh menyampaikan melalui penulisan seperti buku-buku atau kitab-kitab. Penulisan yang dihasilkan akan dibaca oleh sesiapa juga. Hanya si pembaca yang dapat menentukan faedah yang didapati daripada penulisan itu mengikut keikhlasan hatinya.

Selain daripada itu, Nabi SAW juga mengarahkan diceritakan mengenai Bani Israil agar dapat dijadikan iktibar. Sedangkan sebelumnya Baginda melarang perbuatan tersebut kerana bimbang menjadi fitnah disebabkan kurangnya kekukuhan tapak agama Islam pada masa tersebut. Jika diterjemahkan ke masa moden, kita memahaminya sebagai kita adalah dibenarkan menceritakan keburukan orang lain, dan seterusnya ini boleh menjadi mengumpat. Haruslah difahami perkara yang dibenarkan Baginda adalah supaya dapat menjadi iktibar kepada semua. Kita sebagai umat Islam mahupun sesiapa juga tidak sepatutnya menceritakan keburukan orang lain. Allah amat melarang umatnya menceritakan aib diri sendiri apatah lagi orang lain.

Bersinambungan dengan hal yang berkenaan, kita janganlah menyempitkan pemikiran dan menganggap bahawa tugas menyampaikan ilmu hanyalah pada ulama, guru, dan yang berkaitan. Hakikatnya semua orang memikul tanggungjawab tersebut. Tiada lagi istilah saya tidak layak memberi nasihat. Walhal, seorang anak kecil pun layak memberi nasihat kepada yang dewasa. Malahan, nasihat yang diberikan oleh seseorang yang tidak waras juga tidak boleh diambil ringan sekiranya apa yang disampaikan itu adalah perkara benar dan betul.

Seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:

Erti hadis:

Daripada Zaid bin Thabit r.a., Nabi SAW bersabda: “Allah menyerikan orang yang mendengar suatu hadis daripada kami lalu ia menghafalnya sehingga ia menyampaikan kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu membawa suatu kefahaman kepada orang yang lebih memahami.  Berkemungkinan juga orang yang membawa suatu kefahaman sebenarnya tidak memahaminya.”

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kata ‘menyerikan’ dalam hadis diatas bermaksud mengelokkan akhlak dan meninggikan darjat. Subhanallah! Sungguh beruntung mereka. Allah akan mengangkat darjat mereka yang menyampaikan ilmu Allah. Sesungguhnya ilmu yang disampaikan tidak akan berkurang melainkan pemahaman ke atasnya akan semakin meningkat. Hadis ini juga menunjukkan wajibnya menuntut ilmu (tafaqquh), bersungguh-sungguh mengkaji makna hadis dan merumuskan perkara yang tersingkap di sebalik suatu hadis.

Jangan kita takut kita tidak pandai untuk menyampaikan kerana kurang kefahaman. Kemungkinan orang yang disampaikan itu akan lebih memahami sesuatu perkara berbanding mereka yang menyampaikan seperti yang diperjelas dalam hadis ini. Jadi kesimpulannya, marilah kita sama-sama mewujudkan generasi berilmu, dan tidak kedekut ilmu, semoga Allah memberkati kita semua.

Wallahualam.

Kewajipan Menyampaikan Ilmu 1
cintailah ilmu

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *