Biasa kita mendengar anak-anak Asnaf ini sukar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana masalah kewangan. Tetapi tahukah anda, terdapat pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan kepada anak-anak ini yang masih ramai tidak ketahui. Kursus kemahiran ini bertujuan membantu mereka agar mampu menyara diri sendiri dan keluar dari masalah kemisikinan ini. Sebelum kita memperkenalkan kursus kemahiran yang ditawarkan kepada anak-anak asnaf ini, apa kata kita fahami dahulu maksud asnaf itu sendiri. Asnaf bermaksud pihak yang layak menerima bantuan ZAKAT yang dikutip daripada orang yang beragama islam.
Terdapat lapan golongan Asnaf, antara golongan asnaf tersebut adalah:-
– Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai harta dan hasil usaha yang boleh memenuhi keperluan asas bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya.
– Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebaahguiab keperluan asasi tetapi tidak mencukupi untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya.
–Amil
Individu atau institusi yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada mengurus dan mentadbir hal ehwal pungutan, pengagihan atau mengawasi urusan kewangan zakat
– Muallaf
Individu yang baru memeluk agama Islam
– Riqab
Mereka yang dimiliki oleh tuannya bagi membolehkan mereka membebaskan/menebus diri masing-masing.
– Gharim
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri, keluarga, atau masyarakat dan memerlukan penyelesaian segera seklaras dengan hukum syarak.
– Ibnu Sabil
Orang yang terputus bekalan (perbelanjaan) semasa perjalanan dan orang yang hendak memulakan perjalanan yang diharuskan oleh Syarak.
– Fisabillillah
Mereka berjuang, berusaha mempertahankan dan meningkatkan penghayatan dan syiar Islam.
Institusi yang menyediakan kursus kemahiran buat Asnaf ada pelbagai dan Kemahiran yang disediakan juga berbeza-beza mengikut tawaran Negeri itu sendiri.
Antara institusi yang menyediakan kursus kemahiran buat Asnaf adalah:-
Pusat Kemahiran Asnaf Zakat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)
Kredit gambar : MAIJ
Majlis Agama Islam Johor mewujudkan Program Kemahiran Asnaf Zakat agar Majlis Agama Islam dapat membantu Asnaf-asnaf yang berdaftar dibawah MAIJ berdikari dan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Pusat Kemahiran ini bukan sahaja menyediakan Kemahiran TETAPI mereka juga menyediakan motivasi kepada asnaf-asnaf tersebut agar mereka lebih bijak dalam melaksanakan sesuatu. Selain itu, Pusat Kemahiran Asnaf Zakat MAIJ juga mempunyai objektif yang jelas berkenaan dengan kursus yang disediakan.
Antara objektif pusat kemahiran ini adalah menaik taraf golongan asnaf kepada golongan yang terbela dan dari golongan yang menerima zakat kepada golongan yang memberi zakat. Pada masa yang sama, MAIJ juga mampu membuka minda dan memberi semangat kepada penerima bantuan untuk berusahaa meningkatkan ekonomi keluarga dan berdikari tanpa bergantung semata-mata kepada bantuan daripada orang lain.
Antara program atau kursus kemahiran yang disediakan adalah:- – Tunas asnaf – Jana asnaf niaga – Jana asnaf chef – Jana asnaf menjahit – Jana asnaf nelayan – Jana asnaf tani – Jana asnaf kraf
Semua aktiviti ini mempunyai kapasiti peserta yang maksimum mengikut terma dan syarat.
Program pembangunan Asnaf : Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP)
Program pembangunan Asnaf di Pahang ini bertujuan bagi membimbing golongan asnaf kearah kehidupan berdikari bagi menjana pendapatan diri dan keluarga seterusnya terkeluar daripada golongan miskin dan penerima bantuan zakat.
Antara aktiviti atau kursus kemahiran yang disediakan dalam program pembangunan asnaf di Pahang ini melibatkan agensi kemahiran seperti GIATMARA, kolej komuniti Akademik Perikanan Malaysia, Akademik Pembinaan Malaysia, MARDI, Kolej Yayasan Pahang dan agensi swasta yang lain.
Pada masa yang sama, mereka juga telah melaksanakan Memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak GIATMARA dan TEKUN NASIONAL bagi membantu golongan asnaf ini ke arah menjadi usahawan yang berjaya.
Antara kemahiran yang disediakan adalah:- – Kemahiran dalam bidang Jahitan – Kemahiran dalam bidang memasak – Kursus jaminan kerjaya dan latihan
Program pembangunan Insan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)
kredit gambar : MAIM
Tujuan Program pembangunan Insan MAIM adalah bagi memastikan golongan asnaf pada masa akan datang merupakan salah satu golongan yang membayar zakat buat asnaf yang lain. MAIM telah menyediakan pelbagai kursus dan aktiviti bermula dari kanak-kanak sehinggalah ke golongan yang lebih dewasa.
Antara program yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Melaka adalah:- – Program motivasi perdana anak-anak asnaf – Program forum peningkatan ekonomi asnaf – Program khemah ibadah kepada anak asnaf – Kursus latihan kemahiran dan keusahawanan asnaf bersama job malaysia dan kolej komuniti – Program halatuju lepasan SPM anak-anak asnaf
Pelbagai program dam kursus kemahiran telah ditawarkan kepada golongan Asnaf bagi meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan kadar peningkatan asnaf dari tahun ke tahun. Transformasi harus dilaksanakan agar golongan asnaf mampu membawa ahli keluarga mereka keluar daripada masalah ini.
Justeru itu, pelbagai kemahiran buat generasi baharu amat penting bagi menentukan hala tuju golongan asnaf pada masa akan datang. Sekiranya tidak berkemampuan untuk menerima pelajaran di peringkat tinggi tidak bermaksud segala masa hadapan telah hancur TETAPI sebenarnya masih ada lagi sinar kebahagian buat golongan asnaf sekiranya mereka mahu mengubah cara hidup kepada gaya hidup yang lebih baik. Pilihan ada di tangan mereka.
Kursus kemahiran ini bukan sahaja wujud di tiga Negeri ini, TETAPI kursus kemahiran ini ada di setiap Negeri tetapi wujud dalam pelbagai program. Justeru itu, untuk mentransformasikan diri golongan asnaf perlu bangkit dan bijak dalam megapai segala kelebihan yang diberikan.
Sy berminat,..