Anak-anak merupakan aset yang paling beharga dalam hidup, mempunyai anak yang baik akhlak merupakan idaman bagi setiap pasangan. Anak yang baik ini mampu menjadi kegembiraan dan kenikmatan dalam hidup samada di dunia ataupun telah meninggal dunia. Untuk mendidik anak yang baik bukanlah dengan mengharapkan beban dipikul oleh orang lain sebaliknya ibu bapa sendiri harus sentiasa mendidik anak dari dalam rumah dan semasa bersama-sama.
Perkara yang paling utama ialah dengan memupuk keimanan dalam diri anak supaya terus berpegang teguh kepada agama, agama banyak mengajar supaya seseorang insan itu berdisiplin dan mempunyai ciri kesopanan dalam setiap perbuatan serta menjadi pendinding dari terpengaruh dari melakukan perkara negatif.
Dalam setiap perlakuan ibu bapa banyak melatih anak supaya belajar mengawal diri sendiri terutama perasaan marah, gembira dan mahukan sesuatu. Ibu bapa boleh mendidik dengan memberikan contoh-contoh pengajaran dari kejadian rakan terdekat atau memberikan penjelasan kepada setiap perkara yang berkaitan dengan kawalan emosi dan perlakuan. Hal ini penting untuk melatih anak sentiasa berfikiran rasional bagi setiap keputusan perbuatan yang hendak dilakukan.
Disiplin merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan, melalui disiplin ini segala peraturan kearah kebaikan dapat dilaksanakan dengan telus, selain itu disiplin menjadikan segala yang dirancang berjalan lancar. Disiplin juga boleh membuatkan masa yang suntuk menjadi panjang tempohnya melalui pengisian yang padat dan bersistematik. Hal ini penting demi menjadikan anak dapat kelebihan dalam setiap perancangan cita-citanya.
Setelah anak komited menjalankan kehidupannya adalah amat penting untuk ibu bapa memantau sejauhmana pelaksanaan perancangannya. Kadangkala sifat manusia ini akan mudah lari dari landasan apabila ia tidak dipandu, hal ini terjadi kerana diri terbiasa dan menyesuaikan diri dan kadangkala cuba mencuba sesuatu yang baru hingga kadangkala ia lari dari landasan sebenar.
Melatih anak menghormati ibu bapa juga penting kerana kebanyakan pengajaran dan didikan datang dari ibu bapa, sifat hormat kepada ibu bapa ini menjadikan proses memberikan teladan dan penerangan dapat diterima secara baik. Didikan menghormati ibu bapa ini boleh dibuat dengan mendedahkan anak kepada contoh-contoh sekeliling, penggunaan nada suara, ibu bapa memberikan teladan dan informasi-informasi berguna untuk ilmu anak-anak.
Akhir sekali adalah perlu melatih anak supaya belajar berdikari dan kemahiran membuat keputusan. Hal in kerana ketika anak meningkat dewasa ada batasan tersendiri untuk ibu bapa mengawalnya, oleh itu didikan supaya anak boleh berdikari amat penting untuk menjamin masa depan yang gemilang.