Menghadapi Tekanan Peperiksaan

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Anda sedang dalam musim peperiksaan? Apa perasaan anda? Apa yang bergolak dalam diri jiwa anda sekarang memikirkan bakal tibanya tarikh peperiksaan anda? Bagaimana pula kiranya peperiksaan ini bakal menentukan sebahagian besar masa depan anda? Pastinya, anda merasakan tekanan yang sangat berat.

Tiada siapa yang akan tenang dalam situasi ini. Namun biasakah anda melihat, rakan-rakan anda yang hakikatnya mempunyai peperiksaan yang sama seperti anda tetapi dia kelihatan tenang sahaja sepanjang hari? Dan biasakh anda melihat rakan yang lain pula begitu tertekan dengan situasi ini? Apakah yang membezakan mereka atau anda sendiri?

Jawapannya adalah cara seseorang itu menangani tekanan dalam keadaan ini.

Bagaimana caranya menghadapi tekanan dalam keadaan ini? Tekanan pada saat-saat akhir amat berbeza berbanding tekanan belajar yang lain. Mengapa? Kerana tekanan pada masa ini, memerlukan kita terus mengulang kaji kerana kita mempunyai peperiksaan yang bakal tiba. Makanya kita tiada masa untuk meninggalkan sumber tekanan kita iaitu pelajaran. Sekiranya kita meninggalkannya maka kita menghadapi risiko untuk gagal. Jadi bagaimana caranya untuk menangani tekanan tersebut? Jujur saya katakan disini kita tidak mampu menangani tekanan ini secara sepenuhnya tapi cukup sekadar untuk mengurangkan tekanan yang ada agar kita boleh terus belajar dan fokuskan diri kita. Makanya disini saya ingin berkongsikan beberapa cara yang pastinya berkesan untuk membantu anda kerana ia juga banyak membantu saya.

Info Tambahan :  Cara Memilih dan Kursus Popular Di Universiti

1) Dekatkan diri pada Tuhan

Ini bukan lah bermakna jika tidak perlu anda menjauhkan diri dari Tuhan. Namun apabila sebelum anda sudah dekat, maka dekatkanlah lagi. Mendekatkan diri pada Tuhan tidak bermakna anda perlu berada di atas tikar sejadah 24 jam sehari. Tapi dengan memenuhi sagala tuntutanNya dengan sempurna, tambahkan amalan sunat seperti solat hajat yang tidak sampai 5 minit pun untuk dilakukan. Banyakkan berdoa. Ingatlah kajayaan anada bukan ditentukan dengan berapa banyak buku yang anda baca tetapi adalah takdir Tuhan ditambah usaha anda. Jika Allah katakan jadi maka jadilah ia.

2) Hubungi ibu bapa anda

Kerapkanlah menelefon ibu bapa anda sekiranya anda tinggal jauh dari mereka. Lebih untung bagi yang tinggal bersama orang tuanya. Banyakkan berbuat baik pada mereka. Sesungguhnya doa mereka untuk anda adalah yang paling makbul. Anda juga dapat mengurangkan tekanan dengan bercerita masalah dengan ahli keluarga anda.

3) Jika terlalu penat, berhenti!

Sekiranya anda terlalu memaksa diri untuk belajar pasti anda akan lebih tertekan. Tapi jangan sehingga terlalu leka. Rehatkan diri 5 ke 10 minit sudah cukup untuk mengembalikan fokus anda semula.

4) Senaman

Senaman penting dan seharusnya dilakukan dengan kerap. Jika terlalu tertekan jangan lepaskan pada makanan atau apa-apa yang tidak bermanfaat sebalikya beralih pada senaman. Bersenamlah sekurang-kurangnya 20 minit sehari atau 3 kali seminggu. Senaman membantu meningkatkan oksigen yang pergi ke otak anda maka anda menjadi lebih cerdas dan dapat lebih fokus dalam pelajaran.

Info Tambahan :  Link Permohonan UPU dan Permohonan Pengajian Tinggi

5) Jaga pemakanan

Walaupun anda sibuk, anda perlu menjaga pemakanan yang seimbang. Jangan terlalu sibuk belajar dan meninggalkan waktu makan. Badan anda akan cepat letih kerana kurang tenaga maka bagaimana anda ingin terus belajar.

6) Tidur secukupnya

Saya tidak mengatakan tidur cukup memerlukan anda tidur dari 10 malam ke 6 pagi. Saya pasti ramai yang suka berjaga malam untuk belajar. Bagi saya itu tidak menjadi masalah sekiranya anda sudah biasa dengan cara itu tetapi pastikan anda tidak terlalu memaksa lalu menyusahkan diri anda. Tidur cukup mungkin berbeza bagi setiap orang, ada yang tidur 3 jam pun sudah cukup namun ada yang tidur 8 jam masih belum cukup. Jadi sesuaikan dengan fisiologi anda. Hanya anda yang tahu mengenai diri anda sendiri.

7) Lepaskan dengan segera

Sekiranya merasakan tertekan yang amat sangat, lepaskan dengan segera. Jeritlah, atau ketawalah sepuasnya. Lepaskan segalanya dengan segera tetapi jangan dengan cara yang salah. Anda boleh juga melepaskan tekanan itu dengan menyanyi atau lain-lain yang anda suka.

Harapnya semua ini dapat membantu anda menghapi tekanan dan selamat berjaya saya ucapkan bagi yang bakal menghadapi peperiksaan.

Sekian. Wallahualam.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *