Kebesaran Allah jelas terpancar pada bagaimana silaturrahim dikekalkan walaupun kejadian manusia ini pelbagai dengan berlainan rupa, warna kulit, bahasa pertuturan dan adat resam.
Asas utama silaturrahim ialah iman dan takwa kepada Allah SWT. Orang Melayu juga banyak berperibahasa tentang ini. ‘Bagai aur dengan tebing’, seikat lidi itu lebih utuh berbanding sebilah lidi yang boleh dipatahkan bila-bila masa sahaja.
Amalkan 5 cara mudah ini dalam kehidupan seharian untuk menyuburkan ikatan silaturrahim sesama manusia, insyaAllah.
- Berterima kasih. Ucapkan dua patah perkataan yang mudah ini setiap kali kita menerima kebaikan. Tidak kisahlah sama ada pada pak cik jaga yang membukakan pagar untuk kita atau orang di tepi jalan yang memberi laluan pada kita. Perkatan terima kasih ini dapat menyebarkan kebaikan sesama manusia. Disamping sentiasa bersyukur kepada Allah , ucapkanlah terima kasih sesama manusia.
- Bermaafan. Telah menjadi amalan, bermaafan hanya pada hari raya. Jangan! Terapkan amalan ini pada kehidupan seharian. Orang yang paling berani adalah yang sanggup memohon maaf atas kesilapannya. Dan orang yang benar-benar sabara adalah yang mampu memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya. InsyaAllah akan sejahtera hidup kita jika ini menjadi amalan semua. Pastinya tidak akan ada pergaduhan atau sikap saling membenci sesama kita.
- Jauhkan ego. Kita mudah marah dan terasa bila ditegur. Sebaliknya cuba terima teguran atau nasihat dengan hati terbuka dan berlapang dada. Buangkan ego kita jauh-jauh. Selidiki dulu sebelum merasakan kita tidak patut ditegur. Mungkin ada sedikit kesalahan yang kita tidak nampak. Dan ingatlah orang yang menegur kita selalunya adalah orang yang mengambil berat tentang kita.
- Berkasih sayang dan berlemah lembut. Saling sayang menyayangi sesama ahli keluarga, adik beradik dan sahabat handai. Apatah lagi ibu bapa dan guru-guru. Sayangi yang muda hormati yang tua. Bukan hanya sayang ‘pakwe’ dan ‘makwe’.
- Zahirkan perasaan. Tunjukkan rasa kasih sayang melalui ucapan atau percakapan. Contohnya hari guru, ucapkanlah terima kasih pada guru atau berikan hadiah sekadar mampu. Ibu bapa pula selalulah mengucapkan sayang pada anak-anak.
InsyaAllah, dengan cara-cara ini kita semua mampu menjadi lebih baik dan mengukuhkan kasih sayang sesama kita.
Wallahualam.