Menggunakan Guru dengan Optimum
Pelajar yang ingin cemerlang wajib menjadikan guru sebagai individu yang perlu didampingi supaya pembelajaran lebih berkat dan bermakna. Setiap masalah yang dihadapi perlu dirujuk kepada guru bagi mendapat penjelasan serta cara mengatasinya. Guru biasanya akan bersedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain memperbaiki hubungan antara pelajar dan guru, kaedah ini juga dapat membuka peluang kepada pelajar memperoleh ilmu yang tidak disentuh di dalam bilik darjah kerana faktor kesuntukan masa. Latihan tambahan ini dapat memantapkan lagi apa yang dipelajari. Seorang guru yang baik sudah pasti akan bermotivasi dan memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengajar sekiranya melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak didiknya. Sikap saling melengkapi ini akan membuahkan hasil apabila pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Cara menggunakan guru dengan optimum dan efektif ialah
- Sering bertanya guru di dalam dan di luar kelas.
- Berbincang dengan guru pada waktu-waktu tertentu misalnya secara spontan di dalam kelas atau di luar kelas atau membuat temu janji bagi perbincangan yang terancang.
- Wujudkan hubungan yang mesra denga guru supaya mudah untuk bertanya, berbincang, meminta khidmat nasihat dan berkomunikasi.
- Jadikan sikap suka bertanya sebagai satu hobi.
- Sentiasa menganggap guru sebagai seorang rakan dan pembimbing supaya tiada halangan untuk bertanya dan berbincang.
- Elakkan situasi ‘spoon feeding’ iaitu hanya mengharapkan apa yang diberi guru sahaja.
- Cuba pelbagaikan maklumat dan sumber pengetahuan supaya tidak hanya bergantung kepada nota yang diberi oleh guru sahaja tetapi berjumpalah dengan guru pada waktu lain untuk mendapat penerangan yang lebih mudah difahami.
Ayuh, mulakan anjakan minda untuk berubah dan berusaha mendekati guru anda. Berusaha menjadi pelajar kesayangan guru merupakan satu pelaburan besar untuk mencipta kejayaan umpama melabur dalam saham amanah. Hal ini kerana guru akan mendoakan kejayaan pelajar dan ilmu yang diperoleh lebih berkat. Tambahan pula, mendekati guru merupakan salah satu tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar. Tiada yang lebih menggembirakan hati guru anda melainkan melihat anda berjaya. Acuan hidup anda ditentukan oleh anda sendiri dan bukannya orang lain. Tepuk dada tanya selera !
Menjadi Pelajar Kesayangan Guru – Bhg 4
Pingback: Menjadi Pelajar Kesayangan Guru – Bhg 4