Mercun Membawa Padah – Jangan Mulakan

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

Mercun Membawa Padah

Mercun Membawa Padah - Jangan Mulakan 1

Di bulan puasa ini, lebih ramai yang mengingati betapa dekatnya kita kepada raya berbanding ingin mendapatkan keberkatan Ramadhan itu sendiri. Anak-anak kecil pula yang paling difikirkannya di bulan puasa adalah mercun, bunga api, meriam dan pelbagai jenis lagi. Seronok memanglah seronok. Tiada siapa yang menyangkal keseronokan bermain bunga api dan mercun. Malah orang-orang yang lebih dewasa juga sukakannya. Tetapi, sedarkah kita bahaya yang bakal dihadapi kerana malang tidak berbau.

Percayalah jika saya katakan budak-budak tidak takut bermain mercun. Ya, mungkin yang takut adalah anak-anak perempuan. Jika perempuan namanya, bukan ketika budak sahaja takut, semakin dia dewasa semakin dia takut. Inilah kenyataan walaupun bukan semua perempuan begitu. Apa yang ingin diperkatakan adalah, walaupun penguatkuasaan semakin keras tetapi hakikatnya yang dapat dilihat masih ramai yang menjual mercun dan bunga api secara terbuka di bazar ramadhan ataupun kedai-kedai. Mungkinkah akta masih belum jelas mengenai perkara ini apabila penjual mercun boleh menjual mercun disebelah polis?

Semua orang pasti tahu bahayanya mercun. Setiap tahun pasti ada sahaja kes-kes yang ngeri membabitkan mercun dan bunga api. Kanak-kanak hilang jari atau tangan, ada juga yang buta akibat bermain mercun. Semua tahu tentang ini, ianya terpampang si televisyen dan dada akhbar. Tetapi mengapa masih ramai yang bermain? Jawapannya adalah keyakinan diri yang tinggi. Benarlah semua orang perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai sesuatu. Tetapi ianya tidak boleh diaplikasikan disini. Kanak-kanak yang bermain bunga api atau mercun merasa yakin bahawa mereka tidak akan apa-apa. Mereka tidak pernah risau kerana mereka lebih mahu seronok, mahu pengalaman berbanding memikirkan apa akan berlaku pada mereka.

Info Tambahan :  Tips Cara Permohonan UPU 2024/2025

Bukan itu sahaja, ibu bapa yang membenarkan anak-anak bermain mercun dan bunga api juga sangat yakin bahawa anak mereka akan selamat dan tidak akan senasib dengan kes-kes yang dilaporkan di televisyen. Sekiranya ibubapa tidak tahu akan aktiviti anak adalah lebih bermasalah. Saya tahu, adik saya sendiri sanggup mengumpul duit belanja yang diberi hari-hari kerana ingin membeli mercun. Mereka takut untuk meminata wang daripada ibu bapa sehingga sanggup menahan lapar dengan tidak membelanjakan wang saku mereka. Dan ini adalah kisah benar. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengawal tingkah laku anak-anak kerana mereka masih mentah dan perlukan bimbingan. Bagi anak-anak di usia muda, semua perkara adalah baik dan tiada yang buruk. Kerana itulah mereka ingin mencuba segalanya.Mercun Membawa Padah - Jangan Mulakan 2

Info Tambahan :  Link Permohonan UPU dan Permohonan Pengajian Tinggi

Mungkin ada yang mengatakan bermain bunga api sedikit sahaja yang tidak berbahaya tidaklah sampai bermain meriam buluh adalah masih boleh dimaafkan. Tetapi fahamlah, mercun adalah berbahaya tidak kira jenis, yang membezakan hanyalah tahap keterukan yang mungkin dihadapi kelak. Tetapi selalunya yang bermula dengan mercun kecil-kecil inilah akan makin meningkat tahap minatnya dan akhirnya akan ketahap bermain mercun yang lebih ‘power’. Mustahillah seseorang akan hanya bermain mercun ‘pop-pop’ sepanjang masa. Dengan itu, inilah yang dikatakan keyakinan diri di mana mereka yakin mereka mampu melakukan lebih lagi yakni bermain mercun yang lebih hebat.

Disini saya tidak menyalahkan sesiapa. Tukang jual, tukang beli atau tukang main juga tukang penguatkuasa. Semua tidak salah. Sudah menjadi lumrah kita, selagi tidak diketuk kuat, pahat tidak akan bergerak. Tetapi ingatlah setiap keseronokan bermain mercun ini haruslah berpada-pada. Berhati-hatilah. Itu sahaja nasihat yang mampu diberikan kerana semua orang yang menyumbang kepada industri ini tidaklah dapat dihalang dengan mudah. Bermainlah mercun atau bunga api jika mahu tetapi berhati-hatilah. Dan sekiranya berlaku perkara buruk, jangan takdir dipersalahkan.

Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *