Panduan pilih IPTS, setiap tahun pasti ramai yang akan mendaftar di IPTA dan ada juga yang akan memilih untuk ke IPTS. Bagi yang berjaya ke IPTA pasti akan gembira dan bagi yang tidak berjaya akan berduka dan mula mencari institusi lain untuk meneruskan pengajian.
Memilih IPTS mungkin altenatif terakhir kebanyakan pelajar kerana mempunyai banyak gambaran negatif tentang IPTS ini, kebanyakan tanggapan negatif IPTS yang biasa disebut ialah mahal, kemudahan kurang dan tidak berkualiti.
Sebenarnya tidak semua tanggapan negatif itu benar, memandangkan IPTS ini diurus melalui persendirian atau syarikat mungkin ada benarnya tetapi hanya segelintir sahaja. IPTS kini lebih baik kerana ia dipantau kerajaan dan perlu mematuhi standart yang telah ditetapkan untuk beroperasi.
Punca tanggapan negatif IPTS
Banyak sebenarnya faktor yang menyumbang tanggapan negatif IPTS selain dari komen bekas pelajar IPTS itu sendiri. Kadangkala hanya sedikit sahaja kelemahan sedia ada pada IPTS tetapi faktor luar juga yang memburukkan imej IPTS ini seperti :
- Promosi melampau agen komisyen – Segelintir pihak IPTS kebiasannya memberi komisyen kepada agen-agen yang dilantik sebagai salah satu strategi pemasaran. Ada agen yang jujur dan ada juga agen yang menggunakan taktik kotor dengan membuat penipuan maklumat dan strategi tersendiri untuk mendapatkan pelajar. Tindakan tidak bertanggungjawab ini sebenarnya boleh memburukkan IPTS tanpa pengetahuan IPTS tersebut.
- Imej negatif pelajar gagal – Cerita negatif IPTS ada juga kadangkala direka atau ditambah oleh pelajar yang tidak berjaya menamatkan pelajaran dan kadangkala ia direka untuk membuat alasan mereka tidak dapat tamat pengajian.
- Sikap pelajar berbelanja – Pengajian di IPTS mungkin cukup dengan pinjaman yang diberi, namun demikian, ada pelajar yang berbelanja besar apabila tidak tinggal dengan penjaga hingga mengakibatkan mereka tidak cukup duit untuk meneruskan pengajian.
Sebenarnya ada banyak lagi faktor pembentukan persepsi negatif IPTS ini. Walaupun ada juga kelemahan dan negatif dari IPTS itu sendiri, namun demikian tidak semua IPTS adalah mempunyai masalah kadangkala ia merupakan salah maklumat dan tanggapan dari pemohon.
Panduan Pilih IPTS yang sesuai
Setiap institusi tidak kira kerajaan atau swasta pastinya mempunyai kelemahan dan masalah tersendiri. Sebagai pemohon, adalah sebaiknya bijak untuk membuat pilihan untuk memohon ke mana-mana institusi terutama IPTS. Dibawah adalah panduan bagaimana untuk pilih IPTS yang tepat.
-
Pastikan IPTS berdaftar dengan Kementerian Pengajian tinggi (Senarai-Daftar-IPTS-terkini-2017) *Sumber afterschool– Setiap IPTS perlu berdaftar dengan kementerian Pengajian Tinggi. Hal ini penting untuk pemantauan berterusan kementerian supaya IPTS yang berdaftar mengikut standart kualiti dan garis panduan yang ditetapkan.
- Kursus pengajian masih sah ( tidak tamat tempoh )- Setiap pengajian ada tarikh tamat sah beroperasi. Dalam tempoh sah ia masih dipantau dan jika tamat ia perlu diperbaharui dengan beberapa syarat standart kualiti perlu dipenuhi sebelum ditambah tempoh sah.
- Kursus yang ingin dipilih mendapat penarafan MQA ( Universiti Swasta, Kolej Universiti Swasta, Kolej/institusi ) – Setiap kursus pengajian perlulah mendapat akreditasi MQA. Kursus yang tidak ada MQA menyukarkan memohon kerja serta kemungkinan tidak berkualiti kerana kursus tersebut tidak dipantau standart operasi.
- Kursus di iktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA ) – Semak Kursus di JPA
- Yuran yang logik dan dipantau Kementerian Pengajian Tinggi – Anda boleh cuba menghubungi dan mendapatkan nasihat Kementerian Pengajian Tinggi untuk bertanya relevan yuran pengajian.
- Kemudahan yang lengkap dan sesuai – Anda perlu pergi/melawat terlebih dahulu ke institusi yang ingin dipilih serta berjumpa dengan senior untuk mendapatkan tips dan pengalaman mereka.
- Penarafan lain dalam dan luar negara – setiap IPTS mempunyai penarafan tambahan lain yang boleh juga anda ambil kira untuk penilaian anda.
Jangan terpengaruh dengan tawaran BONUS
Kebiasannya untuk menarik minat mendaftar di IPTS, ada agen yang menawarkan bonus seperti tiket penerbangan, laptop, alatan tulis dan banyak lagi. Pastikan anda tidak segera dan terpengaruh dengan tawaran bonus yang diberikan, bertanya dan selidiki dulu IPTS berkenaan dengan mengikut langkah yang di sediakan diatas dan perbanyakkan bertanya pengalaman pelajar lepasan IPTS berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan pendaftaran.
Jangan fokus pada tawaran bonus, tangguhkan membuat keputusan menerima tawaran IPTS, gunakan masa yang ada untuk mengkaji dan bertanya.
Kesimpulan Panduan Pilih IPTS
Tidak semua IPTS mempunyai reputasi buruk dan aspek negatif. Kebanyakan IPTS adalah berdaftar dan sentiasa dipantau oleh kerajaan dalam sistem operasinya serta kandungan pengajiannya. Sebagai pemohon perlulah lebih tenang dan bijak membuat penilaian sebarang tawaran yang diberikan. Dapatkan sebanyak mungkin ilmu dan pengetahuan berkaitan IPTS dan pengajian yang ditawarkan dari golongan profesional seperti guru, kaunselor atau bekas pelajar untuk mendapat tips serta kelebihan dan kelemahan IPTS yang ingin dimohon.