Baru seminggu dua ini ada berita yang mengejutkan kerana tersebarnya rakaman seorang lelaki mendera anaknya yang berumur bawah 3 tahun dengan cara memukul, menyepak dan sebagainya. Anak kecil itu tahu rasa sakit.
Kemudian, saya mencari banyak lagi video yang tersebar berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak. Ibu bapa, guru-guru, penjaga, adalah merupakan pendera tersebut. Pada hakikatnya, mereka inilah yang diharapkan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak kecil ini.
Faktor:
1) Mereka yang mendera hakikatnya mempunyai masalah mental yang serius. Mungkin mereka merasakan tertekan dengan kehidupan di luar lalu melepaskan segalanya kepada anak kecil yang tidak berdosa ini.
2) Kurang didikan. Sama ada didikan agama mahupun pendidikan sivil. Semasa mahu berkahwin, sesiapa pun jarang memikirkan bagaimana mereka ingin menjaga keluarga dan membesarkan anak. Akibatnya, mereka lalai terhadap tanggungjawab mereka itu.
3) Dalam agama Islam adalah melarang sama sekali untuk memukul anak dari bahagian pinggang ke atas. Mengapa? Kerana kecederaan pada mana-mana kawasan tersebut bakal mengakibatkan kesan yang serius. Malahan, jika ada keperluan untuk memukul, tidaklah boleh dengan benda-benda yang bahaya. Merotan dibenarkan sekiranya anak-anak tidak solat pada usia 9 tahun ke atas. Bukan merotan kerana ibu bapa terasa ingin merotan.
4) Kurang pemantauan menjadi faktor anak-anak yang dihantar ke taska atau rumah pengasuh didera penjaga mereka. Ibu bapa yang sibuk bekerja keduanya kadang-kadang terlupa untuk melihat perubahan tingkah laku anak dan tidak pula bertanya sekiranya mereka mempunyai apa-apa masalah. Bayi pula tidak boleh berkata-kata dan memberitahu kepada dunia tentang nasib mereka. Ibu bapa patutnya menyelidik terlebih dahulu supaya tidak meyesal di kemudian hari.
Cara mencegah:
1) Bagi ibu bapa atau penjaga yang merasakan diri tidak dapat bertahan dengan tekanan hidup, dapatkanlah bantuan dengan segera daripada pakar-pakar psikologi. Bukan ingin mengatakan bahawa anda gila, tetapi sebenarnya, mereka yang tidak dapat menahan amarah juga termasuk dalam golongan yang bermasalah mental. Mudah-mudahan ia dapat membantu anda menangani rasa marah dan mengajar teknik tertentu supaya tidak melepaskan marah ke jalan yang salah terutama anak-anak anda sendiri.
2) Ibu bapa jangan terlalu bergantung kepada taska atau penjaga untuk menjaga anak anda. Sekiranya terpaksa, pastikan anda sentiasa mengambil tahu apa-apa sahaja masalah yang dihadapi anak-anak. Kadang-kadang mereka tidak mampu untuk meluahkan perkara tersebut, tetapi anda sebagai ibu bapa perlu melihat dan menangkap segala perubahan tingkah laku atau kemurungan yang ditunjukkan oleh anak-anak. Jangan sekali-kali membiarkan nasi menjadi bubur.
3) Orang ramai juga perlu sentiasa prihatin dan segera melaporkan sekiranya ada kejadian yang berlaku disekitar mereka. Jangan anda tutup mata kerana perkara yang sama mungkin bakal berlaku kepada anak anda kelak.
Pesanan terakhir, kanak-kanak bukan patung untuk disepak, diterajang. Tapi perlu ditatang ibarat minyak yang penuh.
Wallahualam.