Bagaimana sebuah televisyen yang tidak berinteraksi dengan manusia mampu menjadi sebuah medium pengajaran, sedangkan kita semua maklum bahawa untuk suatu pengajaran itu berjaya, kita memerlukan sebuah hubungan dua hala? Hakikatnya, sudah wujud TV pendidikan dan ianya diyakini berhasil membantu pelajar dalam pelajaran mereka terutamanya pelajar di sekolah. Memang benar, sebuah televisyen tidak akan pernah mampu menggantikan seorang mahupun separuh guru kerana hanya guru yang mampu mengajar, mendidik, dan menilai pelajar atau murid di sekolah. Namun, kita perlu faham bahawa televisyen kini lebih disukai untuk ditonton dan dilihat berbanding guru di sekolah (kecualilah guru itu seorang yang cantik atau kacak).
Oleh itu, kita perlu menerima televisyen sebagai salah satu alat bantuan pengajaran dan boleh menjadi bantuan tuisyen atau kelas tambahan percuma bagi mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan kelas tambahan daripada pengajar-pengajar yang hebat namun masih memikirkan wang diatas segalanya.
Walaubagaimanapun, kecanggihan teknologi termasuklah televisyen dan internet masih belum mampu mengatasi atau mengubah sikap pelajar. Saya melihat sendiri adik saya dan kawan-kawannya walaupun telah dikurniakan pelbagai kemudahan yang jauh sangat beruntung berbanding saya dahulu masih enggan menggunakan peluang untuk menimba ilmu dengan mudah. Sebaliknya mereka hanya melihat kedua-dua media ini sebagai suatu bentuk hiburan sahaja. Ini juga berlaku kepada banyak pihak.
Maka, kesimpulannya, peluang untuk menimba ilmu hakikatnya sangat meluas dan hanya kita yang perlu rajin berusaha untuk memanfaatkan segala peluang yang ada. Serta, televisyen sebagai sebuah medium pendidikan di zaman ini bukanlah suatu perkara yang luarbiasa malah diyakini amat membantu semua pihak.
Wallahualam.