Baru-baru ini semasa negara sedang sibuk menghadapi musim penilaian menengah rendah (PMR), kita dikejutkan dengan berita seorang lelaki, Pak Cik Nordin yang berumur 50 tahun turut mengambil peperiksaan tersebut. Dan sebab yang diberikan adalah kerana beliau ingin menebus kegagalannya 35 tahun yang lalu.
Sebaik sahaja berita tersebut tersiar, pelbagai reaksi orang ramai yang diketengahkan. Ada yang menyokong dan kagum akan kesungguhannya, tidak kurang juga yang merasakan beliau membazir masa dan lebih patut menumpukan kepada ilmu agama. Namun bagi lelaki ini beliau sangat berazam untuk lulus dalam peperiksaan tersebut.
Hakikatnya, pendidikan adalah milik semua orang. Mungkin bagi kita sekarang PMR sudah tiada banyak nilai, malah ianya bakal dimansuhkan tidak lama lagi. Walaubagaimanapun, mungkin bagi lelaki ini, beliau merasa kecewa dengan kegagalannya dahulu. Pastinya beliau akan menjadi idola kepada anak-anaknya nanti kerana berani mengambil PMR yang dahulunya dikenali sebgai SRP semula. Inilah contoh sikap tidak putus asa.
Pendidikan adalah sepanjang hayat dan menjadi milik semua. Kita harus merebut peluang yang ada agar tidak kecewa. Bagi pak cik ini peluang baginya adalah sedikit terlewat namun tidak menjadi masalah sekiranya dia yakin dan percaya akan diri sendiri.
Apapun, pendidikan tidak tertakluk kepada pendidikan secara formal yang diajar di sekolah-sekolah sahaja. Kita juga belajar daripada segala yang ada disekeliling kita. Dan pastinya yang paling penting adalah pendidikan agama.
Janganlah berhenti mencari ilmu kerana ilmu itu ada dimana-mana dan usahlah berputus asa kiranya menghadapi kegagalan.
Wallahualam.