PMR Tiada Lagi – Kebaikan VS Keburukan

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

PMR Tiada Lagi – Kebaikan VS Keburukan

PMR Tiada Lagi – Kebaikan VS Keburukan 1

  Dikhabarkan mulai tahun hadapan PMR ataupun nama panjangnya Penilaian Menengah Rendah akan dimansuhkan yakni pelajar-pelajar tingkatan 3 mulai tahun hadapan akan setaraf dengan pelajar tingkatan 1 atau 2 dimana mereka tidak akan melalui peperiksaan besar. Maka, peperiksaan utama yang wujud di negara ini akan makin berkurang yang mana pertama adalah UPSR ataupun Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan kedua SPM ataupun Sijil Penilaian Menengah. UPSR akan menjadi penentu anak-anak untuk masuk ke peringkat menengah dan SPM menjadi penentu masa depan anak-anak akan datang yang paling besar.

Disebalik ketetapan yang telah ditetapkan oleh kerajaan tersebut, masih banyak pihak yang meragui keberkesanan tindakan tersebut tidak kurang juga yang menyokong. Hakikatnya pendapat ramai pihak adalah berbeza-beza. Setiap pendapat pula bukanlah secara membabi buta melainkan didukung pelbagai sebab yang munasabah serta bukti yang nyata. Ada yang meyakini ianya membawa lebih kebaikan berbanding keburukan dan ada juga yang sebaliknya. Kenyataannya yang dapat saya -katakan daripada kefahaman dan pengalaman ialah semua itu tidak akan dapat benar-benar dipastikan melainkan setelah ianya dilaksanakan.

Sebelum kita perkatakan lebih lanjut, adalah lebih baik kita memahami situasinya terlebih dahulu. Apa itu PMR? PMR seperti nama panjangnya di atas, bermaksud satu ujian bagi pelajar di peringkat menengah rendah yakni bagi Tingkatan 1, 2 dan 3. Seperti yang semua sedia maklum PMR dikatakan penentu bagi pelajar sama ada menjurus ke bidang sains mahupun sastera; dua cabang yang amat besar dan sangat kontroversial  yang tidak ingin diperkatakan disini. Namun tidak kurang juga yang menganggap PMR tidaklah penting mana dan hanya sekadar untuk menentukan kelas mana pelajar akan duduki di Tingkatan 4. Masih saya ingat lagi Tingkatan 4 pernah dikatakan suatu peringkat ‘honeymoon’ atau bulan madu bagi pelajar-pelajar sebelum melangkah ke Tingkatan 5. Tidaklah saya pasti jika ianya masih begitu di zaman kini.

Info Tambahan :  YPJ 2023: Permohonan, Syarat dan Panduan Lengkap

Ramai yang menganggap PMR bagus kerana ia membantu pelajar membuat pilihan awal untuk memasuki mana-mana cabang pembelajaran selepas mendapat keputusan PMR. Pelajar dapat menyesuaikan minat mereka dengan kemampuan mereka selepas mendapat keputusan. Selain daripada itu, pelajar juga mampu terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang paling bersesuaian dengan mereka dan tidak perlu lagi berkira-kira pada peringkat SPM. Contohnya, seorang pelajar yang kononnya meminati bidang sains kerana ingin menjadi seorang doktor tetapi keputusan PMR yang tidak begitu baik menyebabkan dia hanya mampu menduduki kelas sastera. Namun setelah beberapa lama dia akan semakin minat terhadap bidang tersebut. Setelah itu, dia hanya perlu menumpukan perhatiannya kepada bidang itu sahaja sehinggalah ke peringkat SPM dan seterusnya. Ini bermakna dia telah mendapat apa yang bersesuaian dengannya walaupun pada peringkat awal bukanlah menjadi minatnya. Namun, kes sebagus begini bukanlah selalu berlaku. Ada juga yang memasuki bidang yang tidak diinati dan akhirnya menyebabkan dia gagal meneruskannya. Apapun, itu adalah satu lagi isu lain yang memerlukan ruangan lain untuk dibincangkan.

Info Tambahan :  Biasiswa SPM dan Setaraf: 5 Senarai dan Tips

Seterusnya, yang lebih utama perlu dibincangkan ialah apabila tiada lagi PMR, apa akan berlaku? Tiada siapa yang pasti akan hasil daripada pelaksanaan pemansuhan PMR nanti. Namun di dalam kepala masing-masing dapat membayangkan beberapa keadaan. Pertama, setelah tiadanya PMR, bagaimanakah nanti akan ditentukan kedudukan pelajar yang ingin menaiki Tingkatan 4? Dikhabarkan akan ada peperiksaan khas seperti peperiksaan akhir tahun namun setakat ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya. Kedua, adakah pemansuhan ini bermakna tidak aka nada lagi pelajar yang berhenti sekolah selapas tamat PMR kerana mereka sudah tidak akan mendapat sijil jika berhenti belajar selepas PMR? Mungkinkah ianya akan lebih menyusahkan mereka yang tidak berkemampuan? Namun seperti yang dapat dilihat, sijil PMR tidak lagi dilayan sekarang sekiranya ingin mendapatkan pekerjaan. Tetapi adakah dengan hanya berpandukan itu kita dapat pasti bahawa ianya merupakan jalan terbaik?

Banyak lagi yang perlu difikirkan tentang perkara ini. Saya hanya melontar idea kepada semua agar kita semua dapat setidak-tidaknya berfikir tentang segala kemungkinan daripada apa-apa jua keputusan dan tindakan yang diambil. Tidaklah bijak sekiranya kita hanya berdiam diri dan mengangguk menyetujui segala perkara. Paling tidak kita patut ada pendapat yang boleh dikongsi dan difikirkan bersama.

Wallahualam.

Disediakan oleh: niaron

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *