

Satu program yang bakal dibuka kerajaan iaitu Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi ( SHIP ) mampu membantu peserta berpendapatan melebihi RM 20,000 sebulan. Program SHIP tersebut telah dilancarkan kemarin oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya. Program SHIP akan memberi keutamaan kepada golongan yang berpendapatan pertengahan dengan pengalaman bekerja.
Fokus utama program ialah berkaitan industri yang memerlukan tenaga mahir dan profesional seperti perniagaan, kesihatan, kewangan maritim dan aero angkasa.
Permohonan Program SHIP
Setelah dilancarkan kemarin, permohonan program SHIP ini akan dibuka pada hujung tahun ini dengan melibatkan 50 penerima faedah dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM 10 Juta dalam industri perkhidmatan kewangan , kesihatan dan teknologi. Kursus- kursus juga dibawah pembiayaan Bank Rakyat akan mengambil masa 3-5 tahun.
Menurut Perdana Menteri, Fasa seterusnya akan bermula pada tahun 2018 dengan lebih banyak lagi bidang kepakaran dan industri akan diperkenalkan secara berperingkat melibatkan 250 orang penerima.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program di laman web Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
Pengenalan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera
Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera merupakan satu inisiatif di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertumpu untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan.
Antara mandat yang diamanahkan kepada Yayasan ini termasuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha Kerajaan dalam menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan profesional dan vokasional.
Sasaran Bantuan Yayasan
- Bakat-bakat Bumiputera berpotensi tinggi.
- Golongan yang dari kelompok 40% ke bawah (yang akan dipertimbangkan untuk bidang bukan akademik).
- Golongan yang memerlukan peluang kedua.
- Golongan yang dari persekitaran yang mencabar.
Misi Yayasan
- Menyediakan peluang pendidikan berkualiti dan latihan kepada Bumiputera.
- Memupuk dan membangun bakat Bumiputera ke potensi tertinggi.
- Menjalin usaha sama dan melengkapi pihak yang berkepentingan dalam mencapai agenda Bumiputera.
- Menyediakan peluang pensijilan antarabangsa ke arah pekerjaan yang menjana pendapatan tinggi.
- Mendidik dan mewujudkan kesedaran di kalangan keluarga, pendidik dan komuniti.