SPA merupakan singkatan untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Ramai yang memohon SPA pada setiap tahun. Maklumlah, siapa yang tidak mahu bekerja dengan kerajaan, bukan? Namun begitu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Bukan mudah seseorang itu berjaya dalam permohonannya untuk menjadi pegawai kerajaan.


Ramai yang merungut kerana tidak pernah dipanggil untuk temuduga walaupun sudah lama mendaftar permohonan dengan SPA. Oleh sebab itu, penting untuk kalian tahu apa punca-punca yang menyebabkan permohonan SPA kalian gagal. Antaranya ialah:
Tiada urusan pengambilan
Punca permohonan SPA gagal antaranya ialah tiada urusan pengambilan. Pastikan anda tahu kekosongan jawatan yang dibuka pada ketika itu. Anda perlu peka dengan kekosongan jawatan yang dikemukakan oleh kementerian atau jabatan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Malaysia. Segala info tentang kekosongan jawatan akan dikemaskini dari semasa ke semasa di portal SPA. Oleh itu, anda tidak perlu membuang masa memohon jawatan yang tidak ditawarkan pada ketika itu.
Borang pendaftaran SPA8i tidak lengkap
Seterusnya, borang pendaftaran yang tidak lengkap juga menjadi punca permohonan anda ditolak. Pastikan borang pendaftaran SPA8i diisi dengan lengkap dari segi kelayakan akademik yang setara, had umur yang dibenarkan dan sebagainya. Borang permohonan yang tidak lengkap berpunca daripada kecuaian pemohon sendiri. Oleh itu, ambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa pastikan borang pendaftaran SPA8i lengkap.
Tidak memperbaharui pendaftaran yang telah tamat tempoh
Sahlaku pendaftaran dalam SPA hanya setahun. Sekiranya pendaftaran telah melepasi setahun, maka anda tidak akan dipanggil kerana dikira permohonan telah ditutup. Oleh sebab itu, sentiasalah kemaskini permohonan anda lebih-lebih lagi kalau sekiranya pendaftaran telah tamat tempoh sah laku.
Kekosongan jawatan yang terhad
Seperti yang telah penulis sebutkan di awal penulisan, ramai yang memohon dengan SPA. Dalam sektor perkhidmatan awam, seramai 10 000 calon akan dipanggil untuk mengisi kekosongan sedangkan jawatan itu hanya memerlukan 2 kekosongan. Oleh itu, persaingan akan menjadi amat sengit disebabkan permohonan yang terlalu banyak. Disebabkan ini juga, temuduga dan peperiksaan khas diadakan untuk memilih siapa yang benar-benar layak untuk mengisi kekosongan tersebut.
Tidak memenuhi syarat yang ditetapkan
Sekiranya anda benar-benar serius, anda perlu meneliti syarat-syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohon dengan baik. Hal ini demikian kerana banyak permohonan ditolak disebabkan pemohon tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam iklan atau dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, untuk memenuhi syarat lantikan sebagai akauntan gred WA41, seseorang itu perlu berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan, warganegara Malaysia dan memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari universiti yang diiktiraf oleh kerajaan. Oleh sebab itu, sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, permohonan akan ditolak.
Akhir sekali, penulis ucapkan semoga berjaya kepada semua pemohon yang berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Tuah akan menyebelahi anda sekiranya anda tahu apa yang patut anda lakukan dan berusaha ke arah itu. Semoga berjaya!