Susu ibu adalah amat berharga

0
2

“Rumah tangga yang dilimpahi cahaya menandakan bermulanya detik indah kelahiran bayi bagi setiap pasangan suami isteri. Menyusui bayi dengan susu ibu merupakan satu titik permulaan yang paling baik kerana segunung kebaikan dan ganjaran yang menanti bayi dan juga ibu. Susu ibu amat penting bagi menjamin perkembangan dan tumbesaran bayi yang sihat.

Agungnya kuasa Allah kerana sebaik sahaja bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Menyusukan bayi merupakan pengalaman yang unik bagi setiap ibu kerana Allah mengurniakan khasiat yang tidak ternilai daripada badan sendiri dan dihiasi dengan kasih sayang antara bayi dan ibu. Allah juga ada menyebut tentang penyusuan ibu di dalam firmanNya yang bermaksud “Dan ibu- ibu hendaklah menyusukan anak- anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”. (Al Baqarah:233)

Banyak kajian yang dilakukan seantero dunia telah membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak terdapat dalam susu formula lain. Ia merupakan makanan terbaik untuk bayi terutama sejak lahir sehingga 6 bulan kerana ia mempengaruhi pembentukan fizikal juga mental anak- anak. Sebaik sahaja bersalin, susu pertama yang berwarna kekuningan dinamakan kolostrum mengandungi antibodi yang tinggi bertindak sebagai imunisasi pertama bagi bayi kerana ia mampu melawan penyakit seperti cirit birit, bronkitis, eczema dan lelah. Hari- hari pertama selepas kelahiran, ibu- ibu digalakkan menyusui bayi untuk membekalkan antibodi yang cukup. Walaupun terdapat perkembangan teknologi makanan moden yang cuba merumus susu formula agar menyamai susu ibu, namun khasiat dan kebaikan susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Itulah hebatnya kurniaan Allah.

Antara kebaikan susu ibu ialah mengandungi komposisi nutrien yang sesuai dan cukup dengan perkembangan bayi yang membesar. Susu ibu bebas daripada bakteria kerana ia mengandungi antibodi (immunoglobulins) yang bertindak sebagai tembok penghalang pelbagai penyakit sehinggalah bayi dapat membentuk antibodinya sendiri. Protein di dalam susu ibu adalah mencukupi untuk pertumbuhan bayi dan perkembangan otak. Protein susu ibu mudah dihadam dan diserap. Apabila susu lembu diberi kepada bayi, kuantiti protein yang dihadam dan serap adalah rendah menyebabkan banyak hasil pecahan protein. Perkembangan otak boleh terganggu jika paras hasil pecahan protein dalam darah adalah tinggi. Susu ibu tidak membebankan ginjal bayi dan ia tidak perlu menyimpan air yang berlebihan.

Lemak merupakan sumber utama bagi bayi. Enzim lipase yang terkandung di dalam susu ibu boleh menghadamkan lemak. Kandungan lemak adalah berubah semasa penyusuan ibu iaitu lemak adalah rendah pada permulaan penyusuan (foremilk) dan tinggi pada akhir penyusuan (hindmilk) atau disebut susu akhir. Enzim- enzim dalam susu ibu akan menghadamkan lemak dan ini menyebabkan ia senang dibekalkan kepada bayi sebagai tenaga. Susu ibu juga mengandungi zat besi yang mudah diserap oleh bayi kerana di dalamnya terdapat laktoferin berbanding susu formula. Kandungan vitamin A dan C dalam susu ibu adalah tinggi berbanding susu lembu. Susu ibu tersedia bila- bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril.

Oleh itu, tidak timbul masalah kebersihan dalam pengendalian menyusukan bayi. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar kepada bayi malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Kajian menunjukkan anak- anak yang berusia sembilan dan lima tahun yang mendapat susu ibu mempunyai IQ sebanyak 12 dan 9 kali lebih tinggi daripada anak yang seusia yang tidak mendapat susu ibu. Penelitian ini menunjukkan hikmah Allah menggalakkan penyusuan ibu yang lengkap bagi menjamin keberterusan generasi berkualiti. Sejajar dengan firmanNya “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung hingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.” (Luqman:14). Kajian di Belanda pula menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Dokosaheksanoik (DHA) dan Asid Arakidonik (AA) yang tidak diperolehi dalam susu formula penting untuk pertumbuhan sistem saraf dan juga tumpuan otak.

Pakej istimewa yang ditawarkan dalam penyusuan ibu bukan sahaja memberi kebaikan kepada bayi malah ibu itu sendiri. Walaupun ramai wanita diselubungi kebimbangan mengembalikan bentuk badan selepas bersalin, dengan menyusu bayi, badan wanita boleh menjadi langsing disertai dengan senaman.

Di samping itu, penyusuan bayi dapat membantu mengecutkan rahim, mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko kanser buah dada dan ovari. Yang lebih istimewa, penyusuan badan dapat menyerlahkan lagi naluri keibuan dan menjana ikatan kasih sayang antara ibu dan anak kerana dalam proses menyusu, hormon prolaktin terhasil dan ia merangsang perasaan keibuan.

Dari perspektif Islam, menyusukan bayi merupakan kewajipan bagi seorang ibu dan menyempurnakan haknya jika dia mampu. Tempoh penyusuan ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah 2 tahun. Bapa merupakan individu yang sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keperluan bagi ibu. Ini memaparkan bahawa Islam menganggap penyusuan ibu sebagai kewajipan utama yang patut dilaksanakan. Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat mendapat persetujuan kedua- dua ibu bapa dan mereka dapat memberikan penjagaan yang rapi kepada anak. Ibu yang mampu menyusukan bayi tidak digalakkan mengupah orang lain untuk menyusui bayi.

Islam memerintahkan bapa memberi upah kepada ibu yang menyusukan anak. Dengan cara ini, Islam memastikan anak mendapat segala keperluan dalam tempoh menyusu. Ibu yang enggan menyusukan bayi tanpa sebab telah mengabaikan satu tanggungjawab hakiki terhadap bayi yang telah diamanahkan oleh Allah.

Ramai ibu yang alpa dengan tanggungjawab mereka dalam melengkapkan bayi dengan keperluan susu badan akibat ghairah dengan kesibukan kerja. Jadi, bagaimanakah untuk menggalakkan penyusuan di kalangan ibu dan menjamin kesinambungan penyusuan susu ibu walaupun ibu kembali bekerja? Bagi ibu yang berkerjaya sepatutnya merancang dan membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anak mereka. Antara faktor yang menjadi penghalang ibu-ibu untuk terus menyusukan bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman, tiada sokongan, memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Kadangkala, ada ibu yang bertekad mahu menyusui anak tetapi hasrat itu terkubur dek beberapa kekangan. Antaranya kekangan waktu untuk menyusu atau memerah susu dan juga tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Oleh itu, amat perlu bagi majikan memahami situasi ini dengan menyahut seruan kerajaan mewujudkan taska di tempat kerja. Di samping menyediakan ruang yang selesa untuk ibu menyusukan anak, ia juga dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak kerana anak tidak akan merasakan diri ditinggalkan oleh ibunya sekian lama. Jika tidak, majikan perlu menyediakan ruang yang khusus dan kemudahan lain seperti peti sejuk untuk ibu- ibu yang menyusu untuk memerah susu dalam sela waktu yang sesuai di tempat kerja. Langkah ini penting bagi memastikan bayi mendapat susu ibu yang secukupnya semasa ketiadaan ibu di rumah.

Bagi memastikan penyusuan ini berterusan, sokongan padu daripada suami, keluarga, majikan dan rakan sekerja adalah penting dan tidak boleh dipandang enteng. Ini adalah kerana ia memberi kesan yang mendalam kepada generasi yang bakal menjadi tunggak negara. Bukankah anak itu anugerah Allah yang tidak ternilai, setitis susu ibu juga kurniaan Allah yang berharga, jadi mereka perlu mendapatkan makanan yang terbaik. Justeru, fikirkanlah.

p/s : Jangan lupa untuk Join kami di Telegram untuk lebih pantas menerima berita Kerja kosong atau permohonan lain seperti biasiswa. Join Telegram

Panduan Percuma, Teknik Pendapatan Sampingan 4-5 angka Sebulan 

Apa Komen Anda :