Peperiksaan merupakan suatu penanda aras tentang tahap pemahaman kita sepanjang tempoh pembelajaran. Oleh itu, semestinya pelajar berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Apabila tibanya musim peperiksaan, para pelajar pastinya menggunakan pelbagai teknik belajar yang sesuai dengan diri masing-masing. Namun, jika teknik belajar yang dilakukan itu tidak berkesan, mungkin juga ianya tidak sesuai dengan diri individu tersebut.


Tidak salah jika kita mencuba beberapa teknik belajar yang tidak pernah kita buat mana tahu ianya sesuai dengan diri kita seterusnya memberi impak positif kepada kita seperti mudah menghafal dan tidak mengantuk ketika belajar. Apa yang sering dilakukan oleh kebanyakkan pelajar adalah mereka sering belajar sehingga lewat malam dan memaksa diri untuk menghabiskan keseluruhan bacaan pada masa yang singkat.
Cara ini adalah sering dilakukan oleh mereka yang belajar pada saat-saat terakhir dan tidak sempat untuk mengulangkaji secara teratur. Tidak dinafikan cara ini sesuai untuk sesetengah orang namun, ianya tidak digalakkan kerana boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan. Terdapat pelbagai tips belajar cara berkesan yang boleh kita ikuti sepanjang tempoh pembelajaran :
- Membuat nota kecil
Seperti namanya, nota yang dibuat mestilah bersaiz kecil sekurang-kurangnya separuh kertas A4 bagi memudahkan ianya dibawa ke mana sahaja. Nota mestilah dibuat bukan hampir dengan musim peperiksaan namun hendaklah dibuat sepanjang tempoh pengajian sama ada sebelum mula kelas (lebih digalakkan) ataupun semasa kelas. Hal ini juga dapat memudahkan proses mengulangkaji semasa musim peperiksaan nanti kerana pelajar tidak perlu menyelak buku yang tebal kerana ianya akan memakan masa yang lebih lama berbanding membaca nota kecil. Selain itu, nota ini juga memudahkan kita untuk mengkaji semua isi-isi penting serta formula yang penting. Teknik ini adalah paling berkesan untuk matapelajaran yang memerlukan banyak bacaan atau hafalan. Teknik menulis nota juga adalah penting kerana ianya akan memberi impak terhadap proses menghafal atau mengingati isi penting seperti :
- Menggunakan warna : Digalakkan untuk menggunakan highlighter atau pen berwarna untuk membuat nota kerana warna dapat merangsang otak kita untuk lebih mudah ingat. Namun perlu diingatkan warna yang digunakan janganlah terlalu banyak sehingga membuat nota kelihatan serabut.
- Hanya isi penting : Apa yang perlu ditulis didalam nota hanya isi penting dan bukanlah huraian yang berjela seperti dalam buku teks. Jika nota anda tebal dan penuh dengan tulisan, maka itu bukanlah nota yang berkesan kerana ianya sama seperti membaca buku teks.
- Gunakan peta minda : Gunakan pelbagai bentuk peta minda untuk nota anda seperti pada faktor, jenis, kesan dan lain-lain. Peta minda akan lebih memudahkan anda untuk mengingati berbanding ayat yang panjang.
2) Belajar awal pagi
Teknik ini sudah semestinya telah diketahui oleh kebanyakkan pelajar. Namun tidak ramai yang mampu melaksanakannya. Tempoh yang sesuai untuk bangun belajar pada waktu pagi adalah sekitar pukul 3 sehingga 5 pagi. Pada waktu ini, otak kita berada dalam keadaan yang segar dan matapelajaran yang sesuai untuk belajar pada waktu ini adalah matapelajaran yang memerlukan banyak membaca seperti sejarah, geografi dan sebagainya. Untuk menggunakan teknik belajar ini, pelajar bukanlah begitu sahaja perlu bangun dan terus belajar. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa mengantuk ketika belajar waktu pagi :
- Basuh muka atau mandi dengan air sejuk : Digalakkan untuk sekurang-kurangnya membersihkan muka dengan air yang sejuk bagi menyegarkan muka dan mengurangkan rasa mengantuk selepas bangun.
- Tidak terus mula belajar : Ambillah masa 3 hingga 5 minit untuk berjalan dan melihat sekeliling didalam rumah bagi mengurangkan rasa mamai dan menaikkan mood study sebelum mula belajar.
- Makan buah-buahan : Makanan berat atau makanan ringan bukanlah pilihan yang sesuai untuk mengelakkan rasa mengantuk. Cubalah untuk makan buah-buahan pelbagai warna (tembikai, oren, epal, anggur) bagi mengurangkan rasa mengantuk disamping warna buah-buahan itu juga dapat merangsang mata serta otak kita semasa belajar.
- Tidur awal : Ini adalah yang paling sukar dilakukan oleh kebanyakkan pelajar. Tidur awal adalah amat penting bagi memudahkan untuk bangun awal keesokkan harinya sekurang-kurangnya paling lewat adalah jam 11 malam.
3) Susun latihan dengan teratur
Walaupun nampak seperti tiada kaitan antara susun atur latihan dan tips belajar, namun latihan yang tersusun rapi memudahkan proses mengulangkaji terutamanya subjek matematik (apa-apa subjek mengira). Latihan ini amat penting sebagai bahan rujukan untuk mengulangkaji dan hendaklah disusun di dalam fail mengikut tajuk. Latihan yang disusun dan dibuat secara kemas secara tidak langsung dapat menaikkan mood study dan memudahkan proses mengulangkaji.
4) Persekitaran yang terang
Keadaan persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mengulangkaji. Bukan sahaja lampu yang menyuluh buku yang perlu terang, malahan keadaan bilik atau tempat belajar juga perlu cerah. Ini bukan sahaja bagi memastikan mata tidak rosak, malahan tempat yang cerah dapat membantu mengurangkan rasa mengantuk semasa belajar. Persekitaran yang ceria, cerah, bersih adalah amat penting semasa belajar. Persekitaran yang cerah akan lebih membantu proses pembelajaran berbanding persekitaran yang malap.
5) Jauhi kafein
Ramai pelajar yang menggunakan minuman berkafein sebagai salah satu cara untuk mengurangkan mengantuk seperti kopi dan nescafe. Cara ini adalah tidak bagus kerana ianya akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri. Bagi sesetengah orang yang badannya amat lemah dengan kafein, pastinya akan memberi impak serta merta seperti rasa pening. Walaupun bagi sesetengah orang yang tidak begitu terkesan dengan kafein, anda masih tidak digalakkan untuk meminumnya. Adalah lebih baik untuk minum air masak sebagai minuman untuk mengurangkan rasa mengantuk kerana ianya membantu peredaran oksigen sehingga ke otak yang amat bagus untuk proses mengulangkaji disamping menjaga kesihatan dengan baik.
Setiap individu menunjukkan respond yang berlainan terhadap pelbagai jenis tips atau teknik belajar. Ianya bergantung kepada diri individu itu sendiri. Namun, apa yang penting adalah untuk mengelakkan mengulangkaji saat akhir yang mana akan membuatkan kita kesuntukan masa untuk belajar secara berkesan.