Tips tingkatkan minat belajar

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:

1. Diri mesti gembira dan ceria

Kajian yang dibuat oleh orang barat mendapati memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja dapat menceriakan hidup tetapi dapat meningkatkan tahap kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa. Namun demikian, ketawa yang berlebihan akan menyebabkan lupa. Oleh itu bersederhana dalam setiap tindakan. Formulasinya, bergantung kepada individu untuk memilih cara hidupnya sama ada untuk gembira atau berduka.

2. Membuat persediaan awal sebelum belajar.

– Mengetahui tajuk yang akan belajar dan menguasai tajuk terlebih dahulu

– Buku dan nota yang lengkap disediakan

– Kerja sekolah yang diberikan mesti disiapkan

Apabila pelajar telah bersedia untuk belajar, telah mendapat gambaran awal perkara yang akan dipelajari, maka akan memudahkan anda untuk menerima ilmu yang akan disampaikan oleh guru. Jika anda bertingkahlaku untuk belajar dengan menyediakan buku, nota yang lengkap, perasaan dan pemikiran anda juga akan fokus untuk belajar.

3. Sentiasa bertanya guru perkara yang susah untuk difahami.

Bertanya guru secara individu memberi lebih perhatian dan penerangan yang mendalam tentang sesuatu perkara. Tetapi pandai memilih waktu yang sesuai supaya guru itu betul-betul dapat meluangkan masa untuk kita.

4. Suka/ tanam minat kepada orang yang mengajar (guru).

Hormati dan sayang guru. Guru merupakan orang yang paling berperanan dalam memberi ilmu kepada kita. Tanpa guru, tiada insan bergelar pelajar. Apabila kita minat dengan seseorang penyanyi, kita tampal gambar di bilik, semua lagunya dapat kita hafal. Jika anda minat guru, anda minat menghafal semua pelajaran, maka anda akan menjadi pelajar yang cemerlang. Untuk menanam minat pada guru, elakkan dari mengumpat guru kerana tindakan ini akan membuatkan pelajar hilang minat dan susah untuk menerima ilmu yang diajar.

5. Berkawan dengan orang yang minat untuk menimba ilmu.

Jika kita berkawan dengan orang yang tidak suka belajar, kita juga akan terikut sama kerana kita takut tidak diterima oleh rakan. Sedang kita tidak berfikir bahawa kesan daripada tindakan mengikut kawan itu akan merugikan diri kita sendiri. Begitu juga sebaliknya jika kita berkawan dengan orang yang suka belajar, jika kita tidak belajar, kita takut kita tidak diterima. Kawan memainkan peranan yang sangat penting terutamanya golongan remaja. Oleh itu, carilah kawan yang membina ke arah kebahagiaan bukan kehancuran.

6. Sentiasa memotivasikan diri untuk berjaya.

Setiap individu adalah pemimpin pada dirinya sendiri dan harus bertanggungjawab pada diri untuk memilih kejayaan atau pun kegagalan, kebahagiaan ataupun kehancuran…..tepuk kepala tanya minda…

Individu yang sentiasa bertindak untuk membuat perubahan dalam diri ke arah positif adalah individu yang sangat bermotivasi. Motivasi juga boleh ditingkatkan dengan berfikir atau muhasabah diri tentang apa yang akan brlaku pada masa hadapan hasil tindakan kita pada hari ini.

3 thoughts on “Tips tingkatkan minat belajar

Leave a Reply to fiziesss Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *