Wajah suci mereka
Semalam, saya ke sebuah tadika. Ia hanya menempatkan 27 orang murid. Saya bersama rakan sekumpulan ke sana sebagai salah satu tuntutan kursus yang sedang saya ikuti kini. Saya melihat wajah anak-anak kecil berusia 5 atau 6 tahun tersebut sangat menyejukkan. Semua masalah pun hilang apabila menatap wajah mereka semua. Mereka semua ceria. Mungkin ada yang pemalu atau sedikit pendiam, tetapi mereka gembira dengan kedatangan kami.
Semakin dewasa kita, semakin banyak pengalaman ditempuh dan bukan semuanya indah. Tetapi semakin dewasa kita semakin kurang kita menghargai kehidupan. Lihatlah anak-anak kecil, mereka bersifat ingin tahu. Mereka ingin menjelajah segalanya. Tetapi kita yang dewasa ini, semakin terikat dengan satu tujuan matlamat sahaja iaitu meneruskan kelangsungan hidup. Benarlah kanak-kanak adalah anusia yang paling kreatif. Kerana mereka tidak menyekat pemikiran mereka. Mereka juga suci tiada dosa. Maka terpampang diwajah mereka keikhlasan.
Banyak yang saya belajar daripada anak-anak ini. Kita semua tahu peranan kita yang sudah dewasa maka kita terarah untuk kekal di sudut selesa kita. Kerana itulah, manusia dewasa dirudum pelbagai permasalahan. Kita menjadi katak di bawah tempurung. Kehidupan kanak-kanak lebih indah. Tidak kenal erti takut. Sanggup mencuba semua benda. Wajah mereka yang senantiasa tersenyum dan kemudian semakin lebar tersenyum apabila mendapat jajan. Sungguh mudah mereka merasa bahagia. Mengapa? Semakin kita dewasa semakin susah kita hendak mersa gembira. Semasa kecil dengan gula-gula 5 sen pun kita mampu tersenyum lebar sepanjang hari. Tetapi kini, apa pun hasil kerja kita belum tentu kita gembira. Kita sentiasa merasa kekurangan apabila semakin meningkat dewasa. Kadang-kadang terasa alangkah indahnya jika dapat kembali ke masa lalu.
Tadika pada zaman saya lebih kepada tempat anak-anak bersosial untuk menuju ke alam sekolah. Ia bukan tempat untuk memaksa anak-anak tahu semua perkara. Hanya sebagai sebuah tempat bagi mereka menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar. Berjumpa teman baru, berkawan, bermain bersama. Indah bukan. Tetapi saya mendapat tahu ada tadika kini yang mempunyai penilaian atau ujian. Tidaklah pula saya tahu bagaimana ujian tersebut. Tetapi perlukah kita melakukannya; memberikan tekanan terhadap anak-anak ini?
Apa yang saya coretkan ini hanya untuk memberitahu semua; dunia ini luas. Mengapa kita menyempitkannya? Jika anak-anak kecil mempu melihatnya mengapa kita tidak nampak? Mungkin nukilan ini tidak seberapa. Semoga kita sama-sama melalui hari yang indah.
Wallahualam.